BERITA SEMASA

Kontrak LTU Gua Musang ditamatkan, ditender semula Mei ini – KKR

KUALA LUMPUR – Kerajaan menamatkan kontrak Projek Lingkaran Tengah Utama (LTU) Pakej 3B dan 3C di Gua Musang, Kelantan susulan kegagalan kontraktor melaksanakan tanggungjawab sehingga menjejaskan keselamatan pengguna jalan raya, dengan projek berkenaan dijadualkan untuk ditender semula pada bulan Mei ini.

Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, keputusan itu dibuat selepas keadaan permukaan jalan yang rosak menimbulkan ketidakselesaan serta risiko kemalangan sekali gus dipandang serius oleh kerajaan.

“Kontrak bagi Projek LTU Pakej 3B dan 3C telah ditamatkan secara rasmi melalui Notis Penamatan Pengambilan Kerja Kontraktor (NPPKK) pada 23 Oktober 2025 susulan kegagalan kontraktor melaksanakan obligasi kontrak,” katanya ketika menggulung perbahasan Titah Diraja 2026 di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau berkata, antara kegagalan dikenal pasti termasuk kegagalan melaksanakan penyelenggaraan rutin jalan sementara, penghentian sepenuhnya kerja di tapak bermula Jun 2025 serta kegagalan memastikan laluan projek berada dalam keadaan selamat kepada pengguna.

“Keadaan ini telah menyebabkan kerosakan permukaan jalan dan meningkatkan risiko kemalangan. Bagi memastikan baki Projek LTU Pakej 3B dan 3C dapat diteruskan, projek dijangka ditender semula pada Mei tahun ini,” katanya.

Dalam pada itu, Alexander berkata Jabatan Kerja Raya (JKR) telah melaksanakan tindakan segera melalui kerja-kerja kecemasan termasuk Pelan Pengurusan Trafik, pembaikan dan penurapan permukaan jalan, pemasangan perabot jalan, perkhidmatan kawalan keselamatan serta pemasangan pagar dan perlindungan struktur.

“Semua aduan awam yang diterima melalui SISPAA, surat rasmi dan media sosial dijadikan asas kepada pelaksanaan kerja penyelenggaraan kecemasan demi keselamatan pengguna,” katanya.

Mengulas kebimbangan berhubung pelantikan kontraktor, beliau menegaskan semua proses perolehan kerajaan tertakluk sepenuhnya kepada peraturan Kementerian Kewangan, dengan penilaian tender mengambil kira rekod prestasi, keupayaan teknikal, kedudukan kewangan serta sejarah projek yang pernah ditamatkan kontraknya.

Sementara itu, Alexander memaklumkan Projek LTU Pakej 3D tidak ditamatkan dan masih diteruskan dengan kemajuan fizikal semasa mencapai 67 peratus, selari dengan jadual asal.

“Keselamatan pengguna jalan raya sentiasa menjadi keutamaan kerajaan. KKR tidak akan melindungi mana-mana kontraktor yang gagal melaksanakan obligasi kontrak dan akan memastikan setiap projek infrastruktur dilaksanakan secara telus serta berakauntabiliti,” katanya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button