BERITA SEMASADALAM NEGERI

Kerajaan cadang had umur miliki media sosial dinaikkan kepada 16 tahun

PUTRAJAYA – Kerajaan mencadangkan had umur minimum penggunaan media sosial dinaikkan kepada 16 tahun sebagai langkah melindungi kanak-kanak dan remaja daripada bahaya dunia siber, termasuk eksploitasi seksual, buli siber dan kandungan tidak sesuai.

Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata, langkah itu sejajar dengan komitmen kerajaan untuk memastikan keselamatan digital golongan muda, di samping mendidik masyarakat tentang literasi media dan tanggungjawab dalam penggunaan platform dalam talian.

Menurutnya, cadangan tersebut dibincangkan dalam mesyuarat Jemaah Menteri semalam dan kerajaan sedang meneliti mekanisme pendaftaran akaun media sosial menggunakan dokumen rasmi seperti MyKad, MyDigital ID atau pasport bagi mengesahkan identiti pengguna.

“Usia 16 tahun dilihat sebagai titik paling wajar kerana pada peringkat itu, remaja sudah lebih matang dari segi psikologi dan mampu memahami batas keselamatan dalam talian,” katanya.

Sebelum ini had minimum yang disyorkan kerajaan bagi pemilikan akaun media sosial ditetapkan pada usia 13 tahuh.

Langkah ini diambil selepas laporan menunjukkan 4 peratus pengguna internet berumur 12 hingga 17 tahun di Malaysia pernah menjadi mangsa eksploitasi seksual dalam talian (OCSEA), termasuk pemerasan, perkongsian imej tanpa kebenaran dan pemaksaan aktiviti seksual.

Selain itu, kajian turut mendapati sekitar 30 peratus remaja Malaysia pernah menjadi mangsa buli siber, manakala lebih 70 peratus pelajar dilaporkan terdedah kepada bahan pornografi sekurang-kurangnya sekali dalam hidup mereka.

Fahmi berkata, kejadian seperti kes rogol berkumpulan di sekolah di Melaka dan Kedah baru-baru ini membuktikan bahaya dunia siber boleh berjangkit ke dunia nyata, apabila pelajar menyalahgunakan gajet dan media sosial hingga mengakibatkan penyebaran bahan lucah.

“Kerajaan tidak boleh berdiam diri apabila dunia digital mula memberi kesan kepada keselamatan fizikal dan mental pelajar. Kita perlu bertindak sebelum lebih ramai menjadi mangsa,” tegasnya.

Walau bagaimanapun, Fahmi mengakui cadangan itu mungkin menimbulkan perdebatan melibatkan isu kebebasan bersuara, privasi data dan kos pelaksanaan, terutama bagi platform media sosial berskala kecil.

Katanya, kerajaan akan memastikan pelaksanaan dasar ini mengambil kira semua aspek perundangan termasuk Akta Perlindungan Data Peribadi (PDPA) serta menyediakan tempoh peralihan bagi pengguna bawah umur dan syarikat platform media sosial.

“Matlamat utama bukan untuk menyekat, tetapi untuk melindungi dan mendidik. Ruang digital mesti menjadi tempat yang selamat untuk generasi muda Malaysia,” tambah beliau.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More

Related Articles

Back to top button