Isu terpencil tidak cerminkan watak sebenar Angkatan Tentera Malaysia – Khaled Nordin
KUALA LUMPUR – Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin menegaskan, apa jua isu yang melanda Angkatan Tentera Malaysia (ATM) kebelakangan ini tidak mencerminkan hakikat sebenar ATM sebagai institusi pertahanan negara.
Beliau berkata, ATM akan terus kekal sebagai institusi yang unggul dan dihormati serta menjadi tonggak utama pertahanan negara, meskipun terdapat beberapa insiden terpencil yang mencalar imejnya.
“Memang saya tidak nafikan. Ada berlakunya perkara-perkara yang tidak diingini, seperti kegelinciran integriti, salahguna kuasa serta gejala hedonisme dan sebagainya.
“Dan perkara tersebut telah mencemarkan nama baik, mencalar maruah dan menimbulkan keraguan terhadap integriti ATM.
“Namun, perlu ditegaskan dengan jelas bahawa perkara-perkara ini berpunca daripada tindakan segelintir pihak sahaja. Mereka bukan dan tidak akan pernah menjadi cerminan sebenar ATM,” katanya ketika berucap pada Majlis Penganugerahan Pingat Jasa Malaysia (PJM) di Kuala Lumpur, hari ini.
Mohamed Khaled menegaskan, hakikatnya keringat dan penat lelah warga Veteran ATM yang merupakan wajah ATM yang sebenar.
“Wajah sebenar Angkatan Tentera terletak pada khidmat, pengorbanan dan sumbangan tanpa jemu para veteran serta anggotanya,” katanya.
Beliau berkata, apabila rakyat Malaysia memikirkan tentang ketenteraan, perkara yang seharusnya terlintas ialah keberanian dan dedikasi anggotanya, bukannya tindakan yang mengkhianati amanah menjaga keselamatan dan kedaulatan negara.

Sehubungan itu, katanya, Kementerian Pertahanan (MINDEF) sedang giat melaksanakan usaha memulihkan integriti dan kredibiliti Angkatan Tentera selaras dengan sasaran yang digariskan dalam ucapan Tahun Baharu beliau.
“Usaha turut dijalankan bagi memperbetulkan persepsi masyarakat terhadap institusi pertahanan negara dan kami berharap para veteran dapat bersama-sama membantu mengembalikan keyakinan rakyat terhadap Angkatan Tentera,” katanya.
Beliau menambah, sebagai bekas anggota tentera, para veteran lebih memahami bahawa tingkah laku negatif bukan sebahagian daripada budaya ATM.
“Marilah kita sama-sama berganding bahu untuk mengembalikan semula keyakinan masyarakat, bangsa dan negara terhadap ATM,” katanya.
Dalam perkembangan lain, Mohamed Khaled memaklumkan kerajaan memperuntukkan sebanyak RM303.3 juta kepada Jabatan Hal Ehwal Veteran Angkatan Tentera Malaysia (JHEV ATM) bagi tahun ini, meningkat 3.16 peratus berbanding RM294 juta tahun lalu.
Menurutnya, daripada jumlah itu, RM274.4 juta atau hampir 90 peratus diperuntukkan khusus untuk program kebajikan veteran.
“Ia termasuk Bantuan Khas Kewangan RM250 secara one-off kepada semua veteran yang akan disalurkan oleh jabatan, seperti diumumkan Perdana Menteri dalam pembentangan Belanjawan 2026,” katanya.
Beliau berkata, bantuan berkenaan dijangka disalurkan pada awal Mac 2026, menjelang sambutan Hari Raya Aidilfitri.
Selain itu, penerima PJM akan turut menerima bayaran one-off sebanyak RM500 seorang pada tahun ini.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |






















