
CBP, PERKESO jalin kerjasama perluas perlindungan sosial untuk suri rumah
KUALA LUMPUR – Co-opbank Pertama (CBP) menjalin kerjasama strategik bersama Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) bagi memperluas capaian Skim Keselamatan Sosial Suri Rumah (SKSSR) kepada golongan suri rumah di seluruh negara.
Ketua Pegawai Eksekutif CBP, Khairil Anuar Mohammad Anuar berkata, inisiatif itu selaras dengan komitmen CBP dalam membangunkan kesejahteraan sosioekonomi masyarakat menerusi penyediaan akses perlindungan sosial yang menyeluruh dan relevan dengan keperluan semasa.
“Kerjasama yang dimeterai sejak Februari lalu ini menyasarkan pelanggan wanita CBP khususnya, bagi memastikan mereka mendapat perlindungan keselamatan sosial ketika mengurus rumah tangga,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

SKSSR diwujudkan di bawah Akta Keselamatan Sosial Suri Rumah 2022 dan menawarkan perlindungan kepada suri rumah warganegara Malaysia atau pemastautin tetap berusia 55 tahun ke bawah.
Antara manfaat skim ini termasuk faedah perubatan, faedah hilang upaya kekal, elaun keuzuran serta kemudahan pemulihan jasmani atau dialisis, dengan kadar caruman tahunan serendah RM120 yang boleh dibayar oleh suri rumah sendiri, suami, ahli keluarga atau pihak ketiga.

Menurut Khairil Anuar, CBP selaku rakan promosi rasmi akan menyediakan maklumat serta kemudahan pendaftaran SKSSR melalui cawangan bank itu di seluruh negara.
“Selain itu, CBP akan melaksanakan kempen promosi secara berterusan menerusi pelbagai platform media sosial bagi memastikan mesej mengenai kepentingan perlindungan sosial kepada suri rumah dapat disampaikan secara meluas dan berkesan,” ujarnya lagi.
Baca juga : CBP hulur bantuan mangsa letupan gas Putra Heights menerusi CB-Prihatin
Platform | Pautan |
---|---|
Malaysia Tribune | |
X | @malaysiatribune |
@malaysiatribune | |
Threads | @malaysia.tribune |
Youtube | Malaysia Tribune |
TikTok | Malaysia Tribune |
Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
Telegram | Malaysia Tribune |
One Comment