Bekas Timbalan Gabenor Virginia tembak isteri sebelum bunuh diri
VIRGINIA – Seorang bekas Timbalan Gabenor Virginia, Justin Fairfax dipercayai menembak mati isterinya sebelum membunuh diri dalam kejadian tragis yang menggemparkan komuniti di Amerika Syarikat.
Menurut pihak berkuasa, Fairfax, 47, ditemukan maut bersama isterinya, Cerina Fairfax, 49, di kediaman mereka di Annandale, pinggir bandar Washington.
Kejadian itu dilaporkan oleh anak lelaki pasangan berkenaan yang menghubungi polis tidak lama selepas tengah malam.
Ketua Polis Daerah Fairfax, Kevin Davis berkata, siasatan awal mendapati insiden berkenaan dipercayai berkait dengan proses perceraian yang sedang berlangsung antara pasangan itu.

“Ia satu tragedi besar kepada komuniti. Ramai yang mengenali keluarga Fairfax dan semua terkejut dengan kejadian ini,” katanya memetik laporan Al Jazeera.
Difahamkan, pasangan itu telah berpisah sejak 2024 dan memfailkan perceraian tahun lalu, namun masih tinggal serumah bersama dua anak mereka yang berada di rumah ketika kejadian berlaku.
Menurut Davis, Fairfax baru-baru ini menerima dokumen berkaitan prosiding mahkamah yang dijangka menjadi pencetus kepada insiden berkenaan.
Beliau turut mendedahkan bahawa isterinya telah memasang kamera keselamatan di rumah dan rakaman tersebut menafikan dakwaan Fairfax sebelum ini yang mendakwa dirinya diserang oleh isterinya pada Januari lalu.
Fairfax sebelum ini pernah dilihat sebagai tokoh berpotensi dalam Parti Demokrat, namun karier politiknya terjejas selepas berdepan dakwaan serangan seksual pada 2019 ketika masih memegang jawatan timbalan gabenor.
Walaupun berdepan tekanan untuk meletak jawatan, beliau menafikan dakwaan tersebut dan meneruskan perkhidmatan hingga tamat penggal pada 2022.
Beliau kemudian bertanding jawatan gabenor pada 2021, namun hanya memperoleh kurang empat peratus undi sebelum berundur daripada arena politik.
Kejadian itu turut mengejutkan negeri Virginia, dengan pemimpin tempatan menyatakan ucapan takziah kepada keluarga mangsa.
Dua senator Amerika Syarikat dari Virginia, Mark Warner dan Tim Kaine dalam kenyataan bersama berkata, mereka mendoakan kekuatan buat keluarga terutama dua anak pasangan tersebut.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |







