Bekas pemain Kelantan, rakan didakwa culik pemilik kedai emas
PASIR MAS – Seorang bekas pemain bola sepak Kelantan bersama rakannya dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan melarikan dan mengurung seorang pemilik kedai emas, tahun lalu.
Tertuduh, Cik Hisammudin Hassan, 51, dan Saufi Ariffin, 24, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Zulkpli Abdullah.
Mengikut pertuduhan, kedua-dua mereka didakwa melarikan mangsa, Marzuki Mustapha secara paksa dengan niat untuk mengurungnya secara sulit dan salah di tepi jalan Kampung Palekbang, Tumpat kira-kira jam 7.20 pagi, 20 Mei tahun lalu.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 365 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun serta denda jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Siti Aiysha Na’ilah Harizan, manakala tertuduh pertama diwakili peguam, Heather Marie Anthony. Saufi bagaimanapun tidak diwakili peguam.
Terdahulu, pihak pendakwaan mencadangkan jaminan RM20,000 bagi setiap tertuduh, namun mahkamah menetapkan jaminan RM12,000 setiap seorang dengan tarikh sebutan semula kes pada 18 Mei ini.
Sementara itu, media sebelum ini melaporkan polis sedang mengesan empat lelaki dipercayai terlibat dalam kes penculikan seorang pemilik kedai emas berusia 44 tahun di Palekbang.
Ketua Polis Kelantan, Mohd Yusoff Mamat dilaporkan berkata, kesemua suspek dipercayai masih berada dalam negeri dan usaha memburu mereka sedang giat dijalankan.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








