JENAYAH & MAHKAMAH

Bekas Naib Canselor USM cedera disamun selepas solat Subuh, suspek sudah ditahan

GEORGETOWN – Bekas Naib Canselor Universiti Sains Malaysia (USM), Tan Sri Dr Dzulkifli Abdul Razak cedera selepas diserang dalam kejadian samun di Taman Pekaka, di sini, awal pagi tadi.

Menurut hantaran di laman Facebook Universiti Utara Malaysia (UUM), insiden dikatakan berlaku ketika beliau baru pulang daripada menunaikan solat Subuh.

Dzulkifli yang juga bekas Rektor Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) mengalami kecederaan di kepala selepas dihentak dengan objek yang dipercayai pistol oleh suspek.

“Beliau menerima 15 jahitan di kepala. UUM menzahirkan rasa simpati dan memohon semua mendoakan kesembuhan Tan Sri Dzul,” menurut kenyataan itu.

Dalam kenyataan berasingan yang dikongsi UUM, keluarga Dzulkifli memaklumkan beliau kini dalam keadaan stabil dan telah dibenarkan pulang selepas menjalani pemeriksaan penuh di Hospital Pulau Pinang (HPP).

“Alhamdulillah, beliau disahkan sihat oleh doktor selepas pemeriksaan menyeluruh. Dua anak beliau kini berada di Pulau Pinang untuk menemaninya.

“Laporan polis juga sudah dibuat, dan kami berharap orang ramai tidak membuat sebarang spekulasi sehingga siasatan selesai,” jelas kenyataan keluarga.

Sementara itu, Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Azizee Ismail mengesahkan seorang lelaki berusia lingkungan 50-an telah ditahan bagi membantu siasatan berhubung kes berkenaan.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button