JENAYAH & MAHKAMAH

Beberapa individu akan dipanggil bantu siasatan kes pelajar dakwa ditampar ahli politik

KUANTAN – Polis Pahang akan memanggil beberapa individu bagi dirakam keterangan berhubung siasatan kes seorang penuntut sebuah institusi pengajian tinggi awam (IPTA) yang mendakwa ditampar seorang ahli politik di Janda Baik, Bentong, bulan lalu.

Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Yahaya Othman, dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan, pihaknya telah menerima laporan kes berkenaan daripada mangsa berusia 23 tahun pada pukul 12.11 tengah hari Sabtu lalu.

Katanya, mangsa mendakwa insiden berlaku ketika menghadiri satu program anjuran institusi berkenaan pada 20 Mei lalu.

“Hasil siasatan awal mendapati, seorang lelaki tempatan berusia 62 tahun yang juga ahli politik, dipercayai telah menampar pipi kiri mangsa di hadapan beberapa individu.

“Mangsa membuat laporan polis kerana tidak berpuas hati dengan tindakan ahli politik itu. Mangsa tidak mengalami kecederaan serius,” katanya dalam kenyataan tersebut, hari ini.

Mengulas lanjut, Yahya memaklumkan, ahli politik itu tampil membuat laporan polis semalam kira-kira pukul 7 malam.

“Polis sudah merakam keterangan mangsa dan suspek, serta akan merakam keterangan beberapa saksi bagi melengkapkan siasatan,” katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan, dan kertas siasatan akan dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya dalam masa terdekat.

Terdahulu, media melaporkan polis Kelantan menyerahkan kepada pasukan Pahang untuk menyiasat kes Nik Alif Aiman Abdul Ariffahmi mendakwa ditampar seorang bekas Senator ketika menghadiri program rasmi sebuah universiti di Janda Baik pada 20 Mei lalu.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button