AUTOMOTIF & TEKNOLOGIBERITA SEMASA

Batik Air tawar penerbangan terus Kota Kinabalu–Seoul mulai September

KUALA LUMPUR – Batik Air akan memulakan perkhidmatan penerbangan terus dari Kota Kinabalu, Sabah ke Lapangan Terbang Antarabangsa Incheon, Seoul pada 12 September ini, dalam usaha memperkukuh hubungan pelancongan dua hala antara Malaysia Timur dan Korea Selatan.

Ketua Pegawai Eksekutif Batik Air, Datuk Chandran Rama Muthy berkata, laluan baharu itu akan beroperasi tiga kali seminggu dan dijangka memberi kemudahan besar kepada pelancong Korea Selatan yang ingin meneroka keindahan semula jadi Sabah tanpa perlu transit di Kuala Lumpur atau bandar lain.

“Perkhidmatan ini bukan sahaja meningkatkan hubungan antara Sabah dan Korea Selatan, malah mencerminkan komitmen Batik Air dalam memperluas rangkaian serantau serta membina hubungan bermakna antara budaya, ekonomi dan komuniti,” katanya dalam satu kenyataan media.a woman holding an umbrella in front of a building

Chandran berkata, Sabah mencatat kehadiran hampir 152,000 pelancong dari Korea Selatan antara Januari hingga September 2024, sekali gus menandakan peningkatan minat rakyat negara itu terhadap destinasi di Malaysia Timur.

“Keunikan alam semula jadi seperti hutan hujan, lokasi menyelam bertaraf dunia serta Gunung Kinabalu menjadikan Kota Kinabalu tarikan utama,” katanya lagi.

Beliau berkata, Korea Selatan kekal sebagai salah satu destinasi utama rakyat Malaysia, terutama dari Sabah dan Sarawak.

“Data Pertubuhan Pelancongan Korea (KTO) menunjukkan lebih 300,000 rakyat Malaysia mengunjungi negara itu pada 2024, dengan peningkatan minat terhadap budaya, makanan dan gaya hidup Korea.

“Pelancaran laluan BKI–ICN juga merupakan sebahagian daripada strategi pengembangan Batik Air ke Asia Utara, sekaligus mengukuhkan kedudukan Kota Kinabalu sebagai hab penerbangan antarabangsa yang sedang meningkat naik,” katanya lagi.

Untuk maklumat lanjut dan tempahan, orang ramai boleh melayari www.batikair.com atau memuat turun aplikasi mudah alih Batik Air.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button