Bapa pemuda didakwa bunuh ibu kandung, adik angkat pilih berdiam diri
SEBERANG PERAI – Suasana pilu menyelubungi Mahkamah Majistret Butterworth hari ini apabila bapa kepada seorang pemuda yang didakwa membunuh ibu kandung dan adik angkat perempuan berusia enam tahun memilih untuk berdiam diri berhubung pertuduhan yang dihadapi anak lelakinya itu.
Kamarozlan Muhammad, 57, berkata, beliau enggan mengulas lanjut mengenai kes berkenaan, namun memaklumkan jenazah bekas isterinya, Hayani Yaakob, 51, serta anak angkat wanita itu masih belum boleh dituntut bagi tujuan pengebumian.
Menurutnya, perkara itu disebabkan proses menunggu keputusan ujian asid deoksiribonukleik (DNA) yang dijangka mengambil masa antara satu hingga tiga bulan.
“Tak mahu ulas (mengenai kes anak). Jenazah bekas isteri dan anak angkatnya juga belum boleh dituntut, dijangka dalam tempoh tiga bulan,” katanya memetik laporan Kosmo! Online ketika ditemui selepas prosiding pertuduhan di Mahkamah Majistret Butterworth, pagi tadi.
Terdahulu, pemuda berusia 23 tahun itu dihadapkan ke mahkamah atas dua pertuduhan membunuh ibu kandung serta adik angkat perempuan berusia enam tahun dalam kejadian di Taman Teluk Air Tawar, pada 10 Disember lalu.
Difahamkan, kedua-dua mangsa dibunuh sehari sebelum insiden kebakaran berlaku di kediaman berkenaan.
Siasatan awal mendapati kejadian dipercayai berpunca daripada tekanan perasaan yang dialami tertuduh selain masalah hutang. Tertuduh dilaporkan bekerja sebagai seorang juruukur.
Sebelum ini, media melaporkan seorang pemuda berusia lingkungan 20-an yang direman selama seminggu bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan disahkan tidak mempunyai sebarang rekod perubatan psikiatri.
Dalam kejadian pukul 9.45 pagi itu, mayat kedua-dua mangsa ditemukan dalam keadaan rentung dan terbaring bersebelahan dengan jarak kira-kira satu meter di ruang tamu berhampiran pintu keluar utama rumah berkenaan.
Sementara itu, anak lelaki wanita tersebut ditemukan selamat di bahagian pintu dapur namun mengalami kecederaan akibat dihempap bumbung kediaman yang runtuh.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |

