LUAR NEGARA

Banjir, tanah runtuh Sumatera: Angka kematian meningkat ke 867

521 mangsa masih hilang

JAKARTA – Angka kematian akibat ribut dan bencana banjir serta tanah runtuh yang melanda Sumatera minggu lalu, melonjak kepada 867 orang dengan 521 mangsa dilaporkan masih lagi hilang.

Setakat ini, Tentera Nasional Indonesia (TNI) sedang meningkatkan operasi bantuan dan menyelamat di tiga wilayah yang terjejas teruk akibat bencana berkenaan, lapor Reuters.

Mejar Jeneral Freddy Ardianzah memberitahu wartawan, pihak tentera mendirikan sekurang-kurangnya 10 jambatan mudah alih yang dikenali sebagai Jambatan Bailey di wilayah Aceh, Sumatera Utara, dan Sumatera Barat.

“Pembinaan jambatan-jambatan ini adalah amat penting untuk mengagihkan logistik. Sebahagian jalan raya masih terhalang, jadi bantuan belum sampai kepada mangsa bencana,” katanya.

Tentera turut memberikan bantuan makanan dan ubat-ubatan yang digugurkan melalui udara kepada penduduk yang terperangkap.

Sementara itu, Presiden Indonesia, Prabowo Subianto pada awal minggu ini menyatakan, keadaan semakin pulih dan pengaturan sedia ada mencukupi.

Timbalannya, Gibran Rakabuming Raka, pula menunjukkan pandangan berbeza selepas melawat kawasan terjejas semalam.

Gibran memohon maaf atas kekurangan dalam tindak balas bencana.

“Saya memohon maaf. Anda tidak bersendirian, rakyat Sumatera tidak bersendirian,” katanya dalam satu kenyataan.

“Kami akan memastikan mereka di pusat pemindahan mendapat penjagaan yang sewajarnya. Ramai mengadu mengenai isu sekolah dan perumahan, kami akan membantu anda dengan itu,” katanya.

Pegawai kerajaan tempatan di Sumatera menggesa kerajaan Pusat di Jakarta mengisytiharkan darurat nasional bagi membebaskan dana tambahan untuk usaha menyelamat dan bantuan.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button