LUAR NEGARA

Bangkok diramal paling cepat tenggelam

BANGKOK – Ketika dunia bergelut dengan krisis iklim yang kian memburuk, ibu kota Thailand kini di ambang bencana alam yang menakutkan dengan kemungkinan tenggelam di bawah paras laut menjelang beberapa dekad akan datang.

Bangkok, sebuah kota raya moden yang terkenal dengan tarikan pelancongan, budaya unik dan peranan pentingnya sebagai pusat ekonomi Asia Tenggara, kini dikategorikan sebagai antara bandar paling cepat mendap di dunia.

Dalam kajian terbaharu yang dilaporkan oleh Thaiger dan The Guardian, pakar mendapati bandar itu tenggelam lebih satu sentimeter setiap tahun.

Jika trend ini berterusan, ia boleh tergelincir sepenuhnya di bawah paras laut seawal tahun 2030.

Situasi ini meletakkan Bangkok sebaris dengan Jakarta, ibu kota Indonesia yang kini berdepan risiko sama sehingga mendorong kerajaan negara itu memindahkan pusat pentadbiran ke ibu kota baharu di Kalimantan.

Faktor utama penyumbang kepada kemerosotan struktur tanah Bangkok termasuk pembangunan tanpa kawalan, penarikan air bawah tanah secara berlebihan serta kenaikan paras laut yang didorong oleh perubahan iklim global.

Dalam usaha mengurangkan risiko banjir tahunan, pihak berkuasa dan institusi akademik di Bangkok mula melaksanakan inisiatif lestari seperti pembangunan Chulalongkorn University Centenary Park.

Ia merupakan sebuah ruang hijau pintar seluas 4.4 hektar yang direka bentuk untuk menyimpan lebih 3.7 juta liter air hujan bagi mengelak limpahan dan banjir kilat.

Namun menurut pakar, langkah-langkah itu hanya bersifat sementara.

Kajian penting oleh Universiti Teknologi Nanyang (NTU), Singapura pula meramalkan paras laut global boleh naik sehingga 1.9 meter menjelang tahun 2100 jika pelepasan karbon dunia tidak ditangani dengan segera.

“Unjuran ini menggariskan keperluan untuk pembuat keputusan merancang infrastruktur kritikal dengan sewajarnya,” kata Dr. Benjamin Grandey yang mengetuai penyelidikan tersebut.

Jika amaran itu tidak diberi perhatian serius, implikasinya bukan sekadar kehilangan kediaman berjuta-juta penduduk Bangkok tetapi juga kemusnahan kepada ekonomi, infrastruktur dan warisan budaya yang telah terbina sejak ratusan tahun.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button