Balai Seni Negara lancar Kalendar Program 2025, Manifestasi Dua Seni
TIRAI 2024 bakal dilabuhkan dua minggu lagi. Justeru Balai Seni Negara tampil melancarkan rangkuman program kesenian dan kebudayaan yang akan berlangsung sepanjang tahun 2025.
Pelancaran Kalendar Program 2025 itu disempurnakan oleh Ketua Setiausaha Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC), Datuk Wira Roslan Tan Sri Abdul Rahman di Balai Seni Negara semalam.
Menurut beliau, perancangan itu telah dirangka dengan teliti bagi merancakkan landskap seni negara serta memperkukuh ekosistem seni tempatan dengan menggalakkan keterlibatan masyarakat menerusi program serta aktiviti yang dianjurkan.

Ia termasuklah pameran bertaraf antarabangsa, bengkel seni, seminar, program residensi, wacana, simposium, knowledge transfer dan aktiviti komuniti.
Pada majlis sama, Roslan turut merasmikan Program Manifestasi Dua Seni yang dianjurkan bermula pada November 2024 sehingga Januari 2025 di seluruh negara.
Ketua Pengarah Balai Seni Negara, Amerrudin Ahmad berkata, Manifestasi Dua Seni merupakan salah satu platform penting dalam memartabatkan karya seni dan sastera tanah air.
“Penganjurannya sejajar dengan seruan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menerusi ucapan beliau dalam Belanjawan 2024 pada Oktober lalu, untuk memartabatkan karya seni dan sastera negara serta memupuk minat golongan belia terhadap karya agung.
“Program ini menawarkan pengalaman seni yang luar biasa, menggabungkan dua cabang seni utama iaitu seni visual dan sastera sebagai usaha memperkukuh identiti budaya Malaysia.
“Ia memberi tumpuan kepada kolaborasi antara pelukis, penulis, penyair dan penggiat seni dengan harapan mencipta pengalaman seni yang lebih bermakna,” ujar beliau dalam satu kenyataan.
Dengan menampilkan karya-karya agung sastera dan seni visual, program itu turut memperkenalkan penulis dan pelukis dari pelbagai latar belakang kepada khalayak yang lebih luas.
Ia juga berperanan sebagai medium untuk menghargai karya-karya lama sambil memberi ruang kepada karya baharu untuk berkembang.

Manifestasi Dua Seni menerima penglibatan daripada pelbagai persatuan seni dan budaya di seluruh negara, termasuk Roman Buku Sdn Bhd di Kuala Lumpur, PORT di Ipoh, Perak; Persatuan Pelukis Negeri Perlis, Persatuan Pelukis Terengganu (PeTer), Senika di Kuantan, Pahang dan Kotak Seni di Kelantan.
Selain itu, Ambeng Art Space di Johor, Kumpulan Pelukis Negeri Melaka, Persatuan Seni Visual Sabah dan Haus KCH di Sarawak juga turut serta dalam menjayakan program ini.
Setiap persatuan menganjurkan aktiviti kesenian seperti pameran, bengkel seni, malam puisi, dan persembahan seni, yang menyerlahkan keunikan seni dan sastera di setiap negeri.
Terdapat juga pertandingan melukis dan menulis berdasarkan karya agung, memberi peluang kepada peserta untuk mengekspresikan kreativiti mereka melalui seni visual dan penulisan.
Manifestasi Dua Seni dilihat sebagai sebuah wadah yang mampu mengangkat karya sastera agung ke tahap yang lebih tinggi.
Pendekatan ini bukan sahaja meraikan bakat tempatan, malah turut berfungsi sebagai jambatan yang menghubungkan generasi serta pelbagai latar belakang budaya demi memperkukuh warisan seni negara.

Majlis turut dihadiri Timbalan Ketua Setiausaha (Kebudayaan) MOTAC, Datuk Mohd Yusri Mohd Yusoff, Pengerusi Lembaga Pembangunan Seni Visual Negara (LPSVN), Shaik Rizal Sulaiman; Ahli-ahli Lembaga Pengarah LPSVN, Dr. Tan Awang Besar merangkap Rektor Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA), pegawai-pegawai kanan MOTAC, jabatan dan agensi serta para penggiat seni.
Pelancaran Kalendar Program 2025 dan Manifestasi Dua Seni mencerminkan aspirasi Balai Seni Negara untuk terus memperkasa peranan seni dalam membentuk identiti budaya negara.
Inisiatif ini diharap menjadi pemangkin kepada perkembangan seni tempatan, menyatukan masyarakat melalui pelbagai aktiviti seni, sekaligus mengukuhkan Malaysia sebagai destinasi seni dan budaya yang bertaraf antarabangsa.
Untuk maklumat lanjut mengenai program anjuran Balai Seni Negara, ikuti media sosial rasmi Balai Seni Negara atau layari laman web www.artgallery.gov.my.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |





