Baitul Mahabbah bukti kerajaan ambil berat kebajikan kanak-kanak migran – KDN
PUTRAJAYA – Kementerian Dalam Negeri (KDN) menolak dakwaan kanak-kanak migran dan pelarian termasuk daripada etnik Rohingya di negara ini diberi layanan tidak berperikemanusiaan.
KDN dalam satu kenyataan hari ini berkata, kerajaan sebaliknya melaksanakan pelbagai langkah termasuk penyediaan Baitul Mahabbah bagi menempatkan golongan itu selain memperhalusi kerangka inisiatif Alternatif Kepada Penahanan Kanak-Kanak.
“Dakwaan bahawa kanak-kanak dikurung tanpa pembelaan atau dinafikan kebajikan asas tidak menggambarkan usaha sebenar yang dilaksanakan kerajaan dalam mengurus isu migrasi tidak teratur secara bertanggungjawab, berperikemanusiaan dan selaras dengan keperluan keselamatan negara.
“Baitul Mahabbah adalah langkah peralihan dilaksanakan kerajaan sementara kerangka inisiatif Alternatif Kepada Penahanan Kanak-Kanak yang lebih menyeluruh diperhalusi KDN bersama Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM), rakan strategik kerajaan serta badan bukan kerajaan (NGO) berkaitan,” kata KDN dalam kenyataan tersebut, hari ini.
Sehingga 28 Februari lalu, sebanyak enam Baitul Mahabbah telah beroperasi di seluruh negara dan menempatkan seramai 188 kanak-kanak termasuk tujuh yang dikategorikan sebagai kanak-kanak tanpa penjaga atau terpisah.
Sebelum ini, terdapat dakwaan tidak berasas dilemparkan aktivis antarabangsa berkenaan penahanan dan ketiadaan akses pendidikan untuk etnik Rohingya.
Hakikatnya, kata KDN, kementerian itu bersama Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) sudah melaksanakan pelbagai langkah bagi memastikan kebajikan serta perlindungan kanak-kanak berkenaan terus diberi perhatian.
Katanya, pelaksanaan inisiatif Baitul Mahabbah adalah langkah interim untuk menyediakan penempatan sementara yang lebih sesuai kepada kanak-kanak berusia 12 tahun ke bawah bersama penjaga mereka.
“Inisiatif itu membolehkan kanak-kanak dipindahkan daripada persekitaran depot tahanan imigresen biasa sementara proses dokumentasi, pengesahan status dan penyelesaian lanjut dilaksanakan.
“Di Baitul Mahabbah, mereka ditempatkan dalam persekitaran lebih kondusif serta diberikan perhatian dari segi keperluan asas, keselamatan, kesihatan, aktiviti pendidikan tidak rasmi, bimbingan asas dan ruang riadah bersesuaian dengan umur serta keadaan mereka.
“Kerajaan juga merancang memperluas skop dan kapasiti Baitul Mahabbah secara berfasa termasuk bagi menampung kategori umur kanak-kanak lain, tertakluk kepada kesesuaian kemudahan, tahap keselamatan, keperluan perlindungan mereka serta kapasiti agensi pelaksana,” katanya.
Menurut KDN, kerajaan mahu semua pihak termasuk negara asal, pertubuhan antarabangsa, rakan serantau dan aktivis kemanusiaan memainkan peranan lebih tegas dan bertanggungjawab dalam mencari penyelesaian mampan.
“Malaysia juga ingin menegaskan bahawa isu ini tidak boleh dilihat secara terpisah daripada konteks lebih besar. Kemasukan tidak sah, penyeludupan migran dan pemerdagangan orang membabitkan komuniti rentan, termasuk Rohingya, merupakan cabaran keselamatan dan kemanusiaan yang kompleks serta merentas sempadan.
“Dalam banyak keadaan, kanak-kanak menjadi mangsa kepada rangkaian sindiket yang mengambil kesempatan atas konflik, kemiskinan dan ketiadaan penyelesaian jangka panjang di negara asal,” katanya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |
















