KITA sering mendengar rungutan sesetengah orang mengenai suratan kehidupan.
Ada wujud keluh-kesah dalam kalangan masyarakat kita yang asyik menyebut dan memikirkan bahawa ‘hidup ini tidak adil’.
Ada yang berusaha bersungguh-sungguh, tetapi tetap miskin dan hidup melarat, sementara yang menipu pula hidup senang.
Ada yang sentiasa berbuat baik tetapi sering ditimpa musibah, sementara penjenayah hidup bebas tanpa rasa bersalah.
Ada yang beragama tetapi hidupnya susah, sementara ada yang tidak beragama tetapi hidupnya mudah.
Maka timbul persoalan, di mana keadilan Tuhan?
Dalam menghadapi persoalan ini, Islam mengajar kita untuk melihat kehidupan bukan sekadar dari dimensi duniawi tetapi dari pandangan yang lebih luas dan mendalam iaitu lensa akhirat.
Keadilan Tuhan tidak sama dengan keadilan manusia
Manusia sering menilai keadilan berdasarkan apa yang dapat dilihat dan dirasai, siapa yang untung, siapa yang rugi, siapa yang senang, siapa yang susah.
Tetapi dalam Islam, keadilan Tuhan melangkaui batas pemikiran manusia.
Allah tidak menzalimi sesiapa walau sebesar zarah.
Adakalanya sesuatu kelihatan ‘tidak adil’ sebenarnya adalah pintu rahmat yang belum disedari.
Firman Allah SWT dalam surah Al-Baqarah, ayat 216 yang bermaksud:
“Boleh jadi kamu membenci sesuatu, padahal ia baik bagi kamu, dan boleh jadi kamu menyukai sesuatu, padahal ia buruk bagi kamu. Allah mengetahui, sedangkan kamu tidak mengetahui.”
Ayat ini secara jelas mengingatkan bahawa ukuran kebaikan dan keburukan bukan berdasarkan kepada apa yang manusia rasa baik dan bermanfaat untuk dirinya.
Begitu juga keburukan bukanlah sesuatu yang manusia rasa tidak selesa dengannya lantaran dianggap sebagai sesuatu yang buruk dan merugikan dirinya.

Bahkan sebaliknya, menurut Imam al-Ghazali, neraca kebaikan dan keburukan adalah apa yang baik dan buruk di sisi syariat.
Sebagai contoh, kesakitan yang dialami seseorang mungkin dilihat tidak menguntungkan dirinya.
Tetapi sekiranya dilihat dari sisi syariat, kesakitan boleh menghapuskan dosa-dosa seseorang.
Seperti hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah RA daripada Nabi SAW yang bermaksud:
“Tidaklah seorang Muslim yang ditimpa suatu penyakit dan keletihan, kegusaran dan kesedihan, gangguan dan kesusahan, bahkan duri yang melukainya melainkan Allah SWT akan menghapus kesalahan-kesalahannya.” (Riwayat al-Bukhari)
Penderitaan sebagai ujian, bukan hukuman
Dalam pandangan Islam, ujian dan penderitaan bukan tanda kemurkaan Tuhan, tetapi peluang untuk penyucian jiwa dalam meningkatkan kedudukan seseorang di sisi Tuhannya.
Rasulullah SAW bersabda:
“Apabila Allah mencintai seseorang hamba, Dia akan mengujinya.” (Riwayat al-Tirmizi)
Penderitaan bukan sekadar untuk menguji kesabaran tetapi juga untuk membentuk kekuatan rohani dan kebergantungan kepada Tuhan.
Sakit, kehilangan dan kesusahan bukanlah sesuatu yang sia-sia. Semuanya mempunyai hikmah yang tersendiri walaupun sukar difahami pada saat ia berlaku.
Keadilan yang sempurna di akhirat
Islam menegaskan bahawa keadilan hakiki akan terlaksana sepenuhnya di akhirat.
Dunia ini bukan tempat pembalasan mutlak, namun hanyalah medan ujian.
Ada yang terlepas dari hukuman di dunia tetapi tiada sesiapa yang akan terlepas di hadapan Allah kelak.

Firman Allah SWT dalam surah Al-Zalzalah, ayat 7-8 yang bermaksud:
“Barang siapa melakukan kebaikan seberat zarah pun akan melihat balasannya, dan barang siapa melakukan kejahatan seberat zarah pun akan melihat balasannya.”
Inilah asas teodisi Islam iaitu kepercayaan bahawa walaupun kejahatan dan ketidakadilan wujud, ia tidak menafikan keadilan Tuhan.
Sebaliknya, ia menegaskan bahawa dunia ini hanyalah satu episod kecil daripada perjalanan hidup manusia.
Menggali hikmah dalam ujian
Imam al-Ghazali menjelaskan bahawa setiap ujian mengandungi hikmah tersembunyi.
Ada yang diuji agar lebih dekat kepada Tuhan, ada yang diuji supaya insaf dan ada pula yang diuji agar menjadi asbab kebaikan kepada orang lain.
Hikmah juga wujud dalam takdir Allah. Allah menghendaki segala sesuatu yang terjadi di alam semesta baik yang disukai mahupun yang tidak disukai oleh hamba-Nya.
Seperti penyakit, kemiskinan dan kesulitan hidup walaupun itu adalah takdir yang tidak disukai oleh hamba, namun dalam perspektif yang lebih luas, hal itu membawa hikmah dan manfaat yang lebih besar sama ada bagi individu mahupun umat secara keseluruhan.
Allah menghendaki takdir tersebut untuk menciptakan keseimbangan dan memberikan kesempatan bagi makhluk-Nya untuk menjalani ujian hidup yang pada akhirnya akan membawa mereka lebih dekat kepada-Nya.
Penciptaan alam dan manusia bukanlah sesuatu yang sia-sia tetapi setiap sesuatu yang dijadikan mempunyai tujuan yang tersendiri (al-Mu’minun 23: 115, al-Qiyamah 75: 36, al-Anbiya’ 21: 16-17).

Manusia diciptakan dengan akal dan kefahaman untuk membezakan kebaikan daripada keburukan dan memenuhi matlamat kehidupan iaitu menyembah Tuhan.
Perbuatan Allah tidak pernah sia-sia kerana setiap perbuatan-Nya mengandungi hikmah dan maslahah yang sempurna.
Berbeza dengan manusia yang bertindak berdasarkan sebab atau tujuan tertentu, Allah tidak memerlukan sebab untuk menentukan akibat baik atau buruk daripada perbuatan-Nya.
Hikmah dalam perbuatan Allah tidak bergantung kepada matlamat luaran yang mencerminkan kebijaksanaan dan kesempurnaan-Nya.
Ini menunjukkan bahawa setiap ciptaan dan ketetapan Allah memiliki makna yang mendalam, meskipun manusia mungkin tidak memahaminya sepenuhnya.
Hikmah mengiringi perbuatan-Nya dan bukanlah perbuatan mengikuti atau mengiringi hikmah.
Justeru, bagi orang yang beriman, penderitaan menjadi peluang untuk menanam sabar, redha dan tawakal.
Bagi masyarakat, ia menjadi cermin empati dan tanggungjawab sosial.
Di sinilah keadilan Tuhan terserlah, bukan sekadar dalam pembalasan, tetapi dalam hikmah dan perubahan hati manusia.
Menemui ketenangan di tengah ketidakadilan
Apabila kita berhadapan dengan sesuatu yang kelihatan ‘tidak adil’ di mata, Islam mengajak kita bertanya dengan jiwa yang tenang: apakah hikmah yang Allah ingin tunjukkan?
Bukan semua jawapan dapat dicari dengan akal, tetapi hati yang beriman akan sentiasa yakin bahawa Tuhan Maha Adil, walau dunia di sekeliling tidak sering begitu.
Dalam dunia yang tidak menentu, keyakinan yang putus terhadap kekuasaan dan keadilan Allah memberi kekuatan dalam menjadi sandaran kepada kelemahan diri sendiri sebagai hamba Allah.
Keyakinan ini akan membebaskan diri seseorang daripada sifat putus asa kerana kita tahu tiada satu pun yang berlaku adalah sia-sia di sisi Tuhan.
Setiap usaha yang baik akan dibalas dengan kebaikan
Hidup memang tidak selalu adil, tetapi ingatlah betapa Allah Maha Adil.
Dalam setiap kehilangan, ada kasih sayang yang tersembunyi; dalam setiap ujian, ada hikmah yang menunggu untuk ditemui.
Di situlah keindahan iman, mencari keadilan Tuhan bukan dengan menuntut jawapan tetapi adalah dengan belajar untuk percaya dengan kuasa yang Maha Esa.
- Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian Malaysia Tribune.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








