Anwar tegas pendirian Malaysia tidak iktiraf Israel kepada pempengaruh AS, Sneako
KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan Malaysia tidak mengiktiraf Israel sebagai sebuah negara sambil menyuarakan penolakan tegas terhadap tindakan penjajahan dan kekejaman berterusan di Palestin.
Kenyataan itu diluahkan dalam satu tembual bersama pempengaruh dari Amerika Syarikat, Sneako, yang membangkitkan persoalan mengenai hubungan Amerika Syarikat dengan Israel serta dasar Malaysia terhadap negara berkenaan.
Ketika ditanya mengenai pendirian Malaysia, Anwar menjelaskan bahawa walaupun wujud pengiktirafan secara de facto dalam konteks tertentu, Malaysia tetap tidak mengiktiraf negara Israel secara rasmi kerana isu asas berkaitan kekejaman yang berterusan.
“Bagaimana kita boleh mengiktiraf sebuah negara yang masih melakukan penjajahan terhadap wilayah lain? Palestin dan Gaza pada hakikatnya telah dijajah,” katanya dalam temubual bersama Anwar di dalam kenderaan rasmi yang disiarkan Sneako di aplikasi X.
Anwar turut menegaskan bahawa Malaysia menolak sebarang bentuk penjajahan dan tidak boleh menerima keadaan yang disifatkan sebagai pelanggaran hak rakyat Palestin yang berterusan.
Dalam perbualan itu, Anwar turut menyifatkan keadaan di rantau berkenaan sebagai sangat serius dengan tindakan ketenteraan yang berterusan.
“Tiada tanda ia berubah. Malah ada tindakan yang terus meluas hingga ke Lebanon, menyebabkan lebih ramai penduduk kehilangan tempat tinggal,” katanya.
Beliau turut menyifatkan kekejaman yang berlaku sebagai ‘tidak tertanding’ dan mengibaratkannya sebagai kembali kepada zaman barbarik, merujuk kepada tahap keganasan yang berlaku di kawasan konflik tersebut.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








