Anak presiden Turkiye, Mesut Özil tiba di Malaysia perkukuh kerjasama pendidikan
KUALA LUMPUR – Hubungan diplomatik antara Malaysia dan Turkiye terus diperkukuh menerusi lawatan rasmi delegasi berprofil tinggi yang tiba di ibu negara, petang semalam.
Ketibaan delegasi diketuai oleh anak Presiden Turkiye, H.E. Necmeddin Bilal Erdoğan bersama bintang bola sepak dunia, Mesut Özil itu disambut oleh Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir.
“Petang tadi saya menyambut ketibaan sahabat saya, Bilal Erdoğan dan Mesut Özil serta delegasi daripada Turkiye yang selamat tiba di Kuala Lumpur,” kata Zambry dalam satu hantaran akaun Facebook.
Kehadiran delegasi itu bertujuan menghadiri Mesyuarat Jawatankuasa Bersama Pendidikan Tinggi Malaysia–Türkiye yang dijadualkan berlangsung di Pulau Pinang pada 28 hingga 29 April 2026.
Pada masa sama, Zambry menjelaskan bahawa beberapa program interaktif turut disusun untuk mendekatkan tokoh berkenaan dengan warga tempatan.
“Beberapa program telah diatur untuk mereka bersama anak-anak muda dan warga Malaysia dalam program di UTM Kuala Lumpur dan juga Program Klinik Bola Sepak di Manjung dan bersama pelajar tahfiz di Pangkor,” katanya.
Rangkaian program itu bertujuan mengukuhkan interaksi sosial selain mempererat hubungan antara rakyat kedua-dua buah negara melalui elemen pendidikan, sukan, dan kebajikan.
Zambry menzahirkan harapan agar kunjungan itu bukan sahaja merapatkan hubungan peribadi dan diplomatik, malah membuka lebih banyak ruang kerjasama yang bermanfaat buat kedua-dua negara.
“Semoga hubungan Malaysia-Turkiye akan terus kekal akrab dan banyak perkara serta kerjasama dapat dikongsi demi manfaat bersama,” ujar beliau.
Lawatan itu dilihat sebagai langkah proaktif Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dalam mengantarabangsakan sektor pendidikan negara sambil menerapkan elemen sukan dan pembangunan sahsiah melalui penglibatan ikon antarabangsa.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |





