Anak pelarian Palestin diumum pemenang Hadiah Nobel dalam bidang Kimia
JEDDAH – Seorang anak pelarian Palestin berjaya menempa nama apabila diumumkan sebagai salah seorang daripada pemenang Hadiah Nobel 2025 dalam bidang Kimia, kelmarin.
Omar Yaghi berkongsi kemenangan itu bersama saintis Susumu Kitagawa dan Richard Robson “membangunkan rangka logam-organik (MOF),” menurut badan penganugerahan tersebut.
Dalam temu bual “First Reactions” yang diterbitkan oleh Jawatankuasa Nobel, Omar berkongsi kisah perjalanannya daripada kehidupan awal sebagai pelarian di Jordan hingga menjadi ahli kimia terkemuka
“Saya berhasrat untuk membina sesuatu yang indah dan menyelesaikan masalah intelektual,” katanya.
Menurut Jawatankuasa Nobel, MOF boleh digunakan untuk “mengutip air daripada udara gurun, menangkap karbon dioksida, menyimpan gas beracun atau memangkinkan tindak balas kimia,” dan penemuan tersebut “berpotensi membantu menyelesaikan beberapa cabaran terbesar yang dihadapi manusia.”
Omar dilahir dan dibesarkan di sebuah kem pelarian Palestin di Amman, ibu kota Jordan, sebelum berpindah ke Amerika Syarikat ketika berusia 15 tahun.
“Saya membesar dalam sebuah rumah yang sangat daif.
“Kami tinggal beramai-ramai dalam sebuah bilik kecil, berkongsi ruang dengan ternakan yang kami pelihara. Saya dilahirkan dalam keluarga pelarian, dan ibu bapa saya hampir tidak tahu membaca atau menulis.
“Jadi, untuk tiba ke tahap ini merupakan satu perjalanan yang panjang dan sains menjadikannya satu kenyataan. Sains ialah kuasa penyamarataan terbesar di dunia.
“Orang pintar, berbakat dan mahir wujud di mana-mana. Sebab itu kita perlu memberi tumpuan sepenuhnya untuk membebaskan potensi mereka,” katanya.
Dilahirkan di Jordan kepada ibu bapa warga Palestin, Yaghi dianugerahkan kewarganegaraan Arab Saudi pada 2021 menerusi kelulusan diraja yang diberikan kepada pakar terkemuka dari pelbagai bidang.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |





