Akta MARA baharu dijangka dibentang di Parlimen tahun ini
JOHOR BAHRU – Pindaan Akta Majlis Amanah Rakyat (MARA) 1966 dijangka dibentangkan di Parlimen tahun ini bagi memperkukuh tadbir urus dan memperkasakan peranan agensi itu dalam agenda pembangunan bumiputera.
Pengerusi MARA, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, proses penggubalan akta baharu itu diberi perhatian khusus oleh Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang mahu ia diselesaikan mengikut jadual ditetapkan.
Menurut beliau, ketika ini proses berkenaan berada di peringkat dasar sebelum draf pindaan diedarkan kepada pihak berkepentingan termasuk kementerian berkaitan untuk diteliti dan diberikan maklum balas.
“Pada peringkat ini, draf akta akan dikemukakan kepada semua pihak berkepentingan untuk dinilai dan diperhalusi.
“Selepas itu, ia akan dibawa semula ke Mesyuarat Jemaah Menteri bagi mendapatkan kelulusan sebelum dibentangkan di Parlimen,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Zikir di Masjid Sultan Iskandar, Bandar Dato Onn, di sini hari ini.
Turut hadir, Pengerusi Barisan Nasional (BN) Johor yang juga Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi.
Dr Asyraf berkata, Jemaah Menteri sebelum ini telah meluluskan kertas dasar bagi penggubalan Akta MARA baharu yang akan menggantikan Akta MARA 1966.
Katanya, kira-kira 80 peratus kandungan dalam draf cadangan akta itu melibatkan perubahan yang memberi tumpuan kepada aspek tata kelola dan tadbir urus berasaskan piawaian antarabangsa serta amalan tadbir urus korporat yang baik.
“Penggubalan akta baharu ini penting bagi memastikan MARA kekal relevan dalam menghadapi cabaran semasa, selain memperkukuh keupayaannya dalam melaksanakan agenda pembangunan sosioekonomi bumiputera,” katanya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








