BERITA SEMASA

Ahli Parlimen Tumpat seru tindakan segera tangani isu kematian terpinggir

TUMPAT – Ahli Parlimen Tumpat, Datuk Mumtaz Md Nawi menggesa semua pihak agar memberi perhatian serius terhadap fenomena kematian individu terpinggir yang tidak disedari masyarakat, satu situasi yang disifatkan sebagai petanda keretakan struktur sosial dan budaya kejiranan dalam negara.

Beliau berkata demikian susulan beberapa insiden menyayat hati baru-baru ini, di mana kematian ahli keluarga tidak disedari oleh jiran, sahabat mahupun waris untuk tempoh yang lama.

“Agenda ‘Sayangi Keluarga dan Keluarga Diutamakan’ dilihat semakin malap dan hampir pupus.

Mayat tiga beranak ditemukan dalam kejadian di sebuah rumah di Taman Bukit Kristal di Seremban semalam.

“Insiden-insiden ini membuktikan bahawa jaringan sosial dan budaya kejiranan kita semakin rapuh,” tegas beliau dalam satu kenyataan media hari ini.

Menurutnya lagi, kerajaan Persekutuan, kerajaan negeri dan pihak berkuasa tempatan wajib meletakkan pembangunan dan kesejahteraan keluarga serta komuniti sebagai komponen utama dalam hala tuju pembangunan negara.

“Pembangunan negara yang sebenar tidak hanya diukur melalui pertumbuhan ekonomi semata-mata, tetapi mesti berpaksikan kesejahteraan rakyat, keutuhan institusi keluarga dan kekuatan jaringan sosial dalam masyarakat.

“Polisi dan agenda mesra keluarga mesti menjadi dasar rentas kementerian yang diterapkan dalam semua sektor dan peringkat pelaksanaan.

“Kita memerlukan hala tuju pembangunan yang menyatukan ekonomi, sosial dan kesejahteraan keluarga sebagai teras kemajuan negara yang seimbang,” tegasnya.

Beliau turut mengemukakan cadangan bagi menangani isu tersebut.

Antaranya ialah mengutamakan dasar dan bajet pembangunan serta kesejahteraan keluarga dan komuniti, memperkasa sistem sukarelawan tempatan untuk memantau kebajikan warga emas, Orang Kelainan Upaya (OKU) dan individu yang tinggal bersendirian serta menggerakkan kempen nasional bagi membudayakan sikap peduli dan prihatin terhadap jiran.

BACA : Tiga sekeluarga ditemukan meninggal dunia dalam rumah di Seremban

Selain itu, Mumtaz turut mencadangkan agar penggunaan teknologi dalam sistem pemantauan komuniti diperluaskan dan melaksanakan program telekomunikasi percuma atau subsidi bagi golongan berisiko.

Malah, beliau juga menyeru pemimpin masyarakat untuk tampil lebih proaktif dalam memulihkan jaringan sosial di peringkat komuniti.

“Budaya ‘jangan jaga tepi kain orang’ telah menjadikan kita semakin tidak cakna. Walaupun hidup dalam era teknologi, kita tetap gagal memanfaatkannya untuk membina hubungan yang bermakna,” katanya.

Mengakhiri kenyataannya, Mumtaz mengingatkan masyarakat tentang perintah Allah SWT dalam Surah An-Nisa ayat 1 yang menekankan kepentingan menjaga silaturrahim:

“Dan bertakwalah kepada Allah yang dengan nama-Nya kamu saling meminta, dan (peliharalah) hubungan kekeluargaan (silaturrahim).”

“Jangan biarkan sesiapa pun terpinggir dan meninggal dunia dalam kesunyian. Ini adalah tanggungjawab kita bersama,” tegas beliau.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button