POLITIK

Ahli BERSATU diingatkan tidak terperangkap dalam ketidakpastian

Perlu tentukan haluan sendiri

SHAH ALAM – Ahli Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) diingatkan supaya tidak terperangkap dalam ketidakpastian masa depan dengan hanya mengikut rentak pihak lain.

Timbalan Presiden, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, landskap politik abad ke-21 menuntut pembaharuan, keterbukaan, keberanian serta relevan dengan aspirasi rakyat.

Justeru, ahli parti digesa supaya tidak sekadar bergantung pada pencapaian lalu, sebaliknya terus mencipta kejayaan untuk masa depan.

“BERSATU perlu dinamik dan memiliki kekuatan moral sebagai kompas kepimpinan yang mampu memberi keyakinan kepada rakyat.

“Lahirnya BERSATU sembilan tahun dahulu adalah detik permulaan untuk kita memikul amanah bagi memperbetulkan segala kerosakan yang ada dan bergerak menuju puncak jaya.

“(Bagaimanapun) Jangan kita terbuai dengan nostalgia kerana politik abad ke-21 juga menuntut kita untuk senantiasa mencipta kejayaan masa hadapan,” katanya.

Hamzah berkata demikian ketika berucap merasmikan perhimpunan agung tahunan sayap BERSATU, di sini hari ini.

Beliau turut menyeru ahli parti untuk turut sama menyemai semangat perjuangan berasaskan nilai murni, keikhlasan, ketahanan serta menjunjung tinggi keimanan, kebenaran dan keadilan.

“Tidak boleh ada dalam kalangan kita yang membisu. Setiap daripada kita mesti bersuara dan menjadi juara denyut nadi serta hati nurani rakyat,” katanya lagi.

Dalam ucapannya, Hamzah yang juga Ketua Pembangkang turut menyeru semua sayap parti supaya terus melakukan engagement dengan masyarakat dengan menguasai naratif digital.

“Lakukan engagement berterusan dengan semua lapisan rakyat. Langkah ini penting untuk kita memahami aspirasi serta kebimbangan mereka dan seterusnya membina kepercayaan jangka panjang.

“(Pada masa yang sama) Kuasai naratif digital khususnya di media-media sosial. Lakukan digital first secara strategik dengan konsisten dan proaktif,” katanya lagi.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button