BERITA SEMASA

Agensi di bawah NRECC cuai punca air sungai Muda surut – Sanusi

ALOR SETAR – Kecuaian yang dilakukan oleh Pejabat Pengurusan Lembangan Sungai Muda (PLSM) yang gagal menutup satu daripada pintu baraj Sungai Muda yang rosak didakwa menjadi punca sehingga menyebabkan paras sungai itu turun mendadak, Isnin lalu.

Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor, berkata pihak Syarikat Air Darul Aman (SADA) sudah memaklumkan kepada pihak berkenaan berkaitan penyusutan paras Sungai Muda pada jam 10 malam Ahad lalu, dan jam 12 tengah malam Isnin lalu.

Bagaimapun, katanya, perkara yang dikesalkan apabila tindakan menutup pintu baraj yang rosak secara manual hanya dibuat pada Isnin, jam 7 pagi iaitu selepas ia terbuka selama 11 jam.

“Kejadian baraj di lembangan Sungai Muda terbuka adalah disebabkan kerosakan pada alat automasi sensor satu daripada pintu, ada 14 pintu semuanya. Sebanyak tujuh pintu rosak sepenuhnya dan hanya tujuh pintu boleh dibuka atau ditutup.

“Apa yang berlaku adalah pintu ke-14 terbuka sendiri sebanyak 50 peratus, makluman mengenai penyusutan paras sungai dibuat SADA sebanyak dua kali iaitu pada jam 10 malam dan 12 tengah malam sebelum kejadian.

“Maknanya ada kecuaian di pihak PSLM dan tindakan harus dibuat Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (NRECC) kerana PSLM dan Jabatan Pengairan dan Sungai (JPS) adalah agensi Persekutuan,” katanya pada sidang media di Wisma Darul Aman di sini, hari ini.

Dalam kejadian Isnin lalu, berlaku gangguan bekalan air terawat membabitkan kira-kira 251,800 akaun SADA di daerah Kuala Muda, Kulim dan Sik serta sebahagian Pulau Pinang.

Kejadian itu berlaku akibat tiga Loji Rawatan Air (LRA) gagal mengepam air akibat penuruan paras Sungai Muda secara mendadak selepas air sungai itu terlepas ke dalam laut akibat kerosaka baraj.

Dalam pada itu, beliau turut mendesak, NRECC menubuhkan segera jawatankuasa siasatan bagi mengenalpasti pihak yang cuai dalam kejadian berkenaan dan tindakan perlu diambil kepada kakitangan terbabit.

Katanya, kerajaan negeri tidak dapat melakukan siasatan dalam kes berkenaan kerana infrastruktur itu bukan berada di bawah SADA atau Lembaga Sumber Air Negeri Kedah (LSANK).

“Saya kesal ada pihak membawa naratif mengatakan kerajaan negeri gagal mengawal selia baraj berkenaan sedangkan struktur itu sepenuhnya dikawal PLSM yang diletak di bawah JPS dan NRECC.

“Ada pihak tunding kata ini kesalahan kerajaan negeri, tundingan itu salah, mereka patut tunding kepada NRECC dan ke Putrajaya kerana ini tanggung jawab mereka.

“Kita sudah bermesyuarat bersama LSANK dan kerana kecuaian ini di pihak PLSM maka kita harap NRECC ambil tindakan ke atas pihak yang bertugas pada waktu kejadian,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata, pihaknya turut merujuk Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) mengenai prosedur pemantauan baraj yang dibuat agensi itu di kawasan Sungai Kedah di Ampang Jajar.

“Saya tanya MADA kerana mereka kawal baraj di Ampang Jajar, prosedurnya ada petugas mereka turun periksa paras sungai setiap jam dan tulis di buku log, bagaimana keadaan pintu semua.

“Pulau Pinang juga macam salahkan kita dan kata kejadian di sebelah Kedah. Sebenarnya ada dua bahagian baraj iaitu di Kedah dan Pulau Pinang.

“Semua pintu baraj Pulau Pinang sudah rosak kerana strukturnya berusia lebih 50 tahun, yang boleh berfungsi hanya sebelah Kedah, jadi mereka tak boleh kata kita sahaja,” katanya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button