Abai Zayn Rayyan: Ibu diperintah bela diri, bapa dilepas dan dibebaskan
PETALING JAYA – Mahkamah Sesyen di sini hari ini, memerintahkan ibu Zayn Rayyan Abdul Matin, Ismanira Abd Manaf membela diri atas pertuduhan mengabaikan anak sulungnya itu, dua tahun lalu.
Hakim Dr Syahliza Warnoh membuat keputusan tersebut selepas berpuas hati dengan hujahan pihak pendakwaan yang berjaya menimbulkan kes prima facie terhadap Ismanira, 30.
Walau bagaimanapun, suami tertuduh, Zaim Ikhwan Zahari, 30, dilepas dan dibebaskan daripada pertuduhan sama selepas mahkamah mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan elemen pengabaian terhadap bapa kepada kanak-kanak itu.
Menurut Dr Syahliza, keputusan tersebut dibuat selepas beliau mendengar dan meneliti hujahan kedua-dua pihak serta keterangan daripada 28 saksi sepanjang perbicaraan.
Pendakwaan dalam kes itu dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Raja Zaizul Faridah Raja Zaharudin bersama Aqharie Durranie Aziz dan Nur Sabrina Zubairi.
Pada 24 April lalu, pihak pendakwaan menutup kes selepas memanggil 28 saksi sepanjang 20 hari perbicaraan yang bermula pada 4 Februari lepas.
Ismanira dan Zaim sebelum ini didakwa bersama-sama mengabaikan Zayn Rayyan yang merupakan kanak-kanak autistik dengan cara yang mungkin boleh menyebabkan kecederaan fizikal terhadap mangsa.
Kesalahan itu didakwa berlaku di kawasan sekitar Blok R, Apartmen Idaman, Damansara Damai sehingga ke kawasan sungai berhampiran, antara pukul 12 tengah hari pada 5 Disember hingga 9.55 malam, 6 Disember 2023.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun atau denda sehingga RM50,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Zayn Rayyan, 6, dilaporkan hilang pada 5 Disember 2023 sebelum mayatnya ditemui keesokan harinya di aliran anak sungai berhampiran kediaman keluarganya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |







