JENAYAH & MAHKAMAH

Lelaki maut dalam nahas dua kenderaan di Jelapang

IPOH – Seorang lelaki berusia 32 tahun maut selepas terlibat dalam kemalangan membabitkan dua kenderaan di Taman Meru Industrial Estate, Jelapang, awal pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira pukul 4.19 pagi itu, mangsa ditemukan tidak sedarkan diri di bahagian penumpang belakang sebuah kereta jenis Mazda CX-5.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung insiden tersebut sebelum sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Meru Raya digerakkan ke lokasi.

“Sebaik tiba, didapati kemalangan melibatkan sebuah Honda City dan sebuah Mazda CX-5.

“Seorang lelaki berada di tempat duduk belakang Mazda dalam keadaan tidak sedarkan diri dan tidak tersepit.

“Ketua Operasi melakukan penilaian awal sebelum mengaplikasikan konsep SAVER dan mengarahkan anggota mengeluarkan mangsa menggunakan papan spinal,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut beliau, mangsa bagaimanapun disahkan meninggal dunia oleh pasukan perubatan di lokasi kejadian sebelum mayatnya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

Dalam kejadian sama, dua lelaki dewasa yang menaiki Mazda CX-5 serta tiga lelaki dewasa dari Honda City dilaporkan terselamat dan berjaya keluar sendiri dari kenderaan sebelum ketibaan pasukan bomba.

Operasi yang melibatkan enam anggota itu ditamatkan sepenuhnya pada pukul 5.13 pagi.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button