BERITA SEMASAJENAYAH & MAHKAMAH

[VIDEO] Tak sempat timang cahaya mata, isteri hamil 3 bulan dan rakan serumah maut dalam kebakaran

JOHOR BAHRU – Seorang lelaki tidak dapat menahan kesedihan apabila isterinya yang hamil tiga bulan maut dalam kebakaran sebuah rumah teres di Jalan Tenang 14, Taman Damai Jaya, Skudai, di sini awal pagi tadi.

Seorang lagi yang meninggal dunia adalah Mohd Shahrizal Yap, 22, yang merupakan rakan kepada pasangan berkenaan dan dikatakan menumpang di rumah berkenaan selepas kehilangan kerja sejak dua bulan lalu.

Irfan Ibrahim, 24, berkata, isterinya, Wan Nurkhairani Wan Norzaini, 21, sedang hamil anak sulung mereka selepas mendirikan rumah tangga pada 2024.

Kebakaran Skudai
Irfan dirakam gagal mengawal kesedihan akibat kejadian yang menimpa isterinya dan rakan serumah mereka.

Menurutnya, kebakaran berlaku ketika dia keluar bekerja di sebuah kilang dekat Gelang Patah sebelum dimaklumkan berhubung kebakaran itu oleh adik-beradiknya.

“Selepas dapat panggilan, saya bergegas pulang ke rumah dan tiba pada pukul 7 pagi tadi, tetapi ketika itu api sudah dipadamkan.

“Kebakaran itu membunuh isteri saya yang hamil anak sulung kami. Memang sedih kerana kami teruja untuk menimang cahaya mata, tetapi terpaksa reda kerana ia takdir yang ditentukan,” katanya.

@malaysiatribune

Suami mangsa, Irfan Ibrahim berkata, kejadian berlaku ketika dia keluar bekerja di sebuah kilang di Gelang Patah. #malaysiatribune #beritatiktok #trendingnewsmalaysia #beritasemasa #malaysiatribune

♬ original sound – malaysia tribune – malaysia tribune

Tambah Irfan, rakannya yang maut itu pernah bekerja di tempat yang sama dengannya.

“Bila dia (mangsa lelaki) berhenti kerja, dia menumpang di sini sejak dua bulan lalu sebab dia berasal dari Sarawak, tiada rumah dan tiada siapa di sini,” katanya memetik laporan BH Online.

Irfan berkata, dia yang berasal dari Taman Sri Pulai di sini, sudah setahun tinggal di rumah itu yang juga milik keluarga isterinya.

Sementara itu, jiran mangsa, Tuminah Bakir, 61, berkata, ketika kebakaran berlaku, dia ada mendengar bunyi seakan orang membaling barang dari rumah berkenaan.

Katanya, ia mungkin dilakukan mangsa untuk memberi petanda mereka ada di tingkat atas.

“Saya terdengar bunyi seperti barangan jatuh, saya minta suami tengok dan kemudian dia memaklumkan nampak asap dari rumah itu.

“Ketika kami keluar, nampak api marak dari kawasan tangga rumah. Tidak ada jeritan dan apabila bomba datang bawa pengusung, kami diberitahu ada mangsa di tingkat atas,” katanya.

Kebakaran Skudai
Keadaan rumah yang hangus terbakar.

Tambahnya, rumah itu sebelum ini ditinggalkan kosong selepas pemiliknya yang juga pasangan warga emas meninggal dunia, sebelum mangsa dan suaminya berpindah masuk.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara, Asistan Komisioner Radin Ramlan Radin Taha ketika dihubungi mengesahkan insiden berkenaan.

Beliau berkata, kebakaran itu mengorbankan dua individu iaitu seorang wanita berusia 21 tahun dan lelaki berusia 22 tahun yang juga penyewa bilik di rumah berkenaan.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button