Ronald tak layak gesa Muhyiddin berundur – ARMADA
CYBERJAYA – Angkatan Bersatu Anak Muda (ARMADA) BERSATU hari ini tampil membidas kenyataan Naib Presiden parti, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee yang meminta Presiden, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengundurkan diri.
Ketua Penerangan ARMADA, Harris Idaham Rashid menegaskan, Ronald bukanlah individu yang paling layak untuk bercakap mengenai perkara tersebut.
Kata Harris Idham, Ronald sepatutnya melihat keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah tahun lepas, di mana calon daripada BERSATU negeri pimpinannya kalah di semua kerusi dipertandingkan.
“Tambahan pula, majoriti calon BERSATU hilang deposit.
“Sebagai sayap pemuda dalam BERSATU, ARMADA ingin melihat satu pasukan kepimpinan yang bersatu padu untuk menggembleng tenaga bagi mencapai kejayaan besar untuk parti,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Terdahulu, Ronald mengeluarkan kenyataan menggesa supaya Muhyiddin berundur daripada jawatannya sebagai presiden bagi membina semula kekuatan parti.
Dalam kenyataan itu, Ronald berkata, bekas Perdana Menteri berkenaan didakwa gagal menguruskan krisis dalaman parti dengan berkesan sehingga dibiarkan berlarutan ke tahap yang hampir mustahil untuk dipulihkan.
Tambah Harris Idaham, ARMADA berpendapat tindakan disiplin wajar diambil sekiranya terdapat pihak yang cuba menggugat kestabilan parti melalui pelbagai rancangan demi mencapai agenda tertentu.
“Ia lebih baik daripada membenarkan keutuhan parti dihancurkan dari dalam,” katanya lagi.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |

















