BISNES & EKONOMI

Agenda ekonomi MADANI perlu holistik, perkukuh kelas menengah Bumiputera

KUALA LUMPUR – Agenda pembangunan ekonomi negara kini perlu dilaksanakan secara holistik, bukan hanya tertumpu kepada pertumbuhan semata-mata, sebaliknya mengambil kira keadilan sosial, kesejahteraan rakyat serta pengukuhan struktur ekonomi jangka panjang.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, peralihan daripada Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) ke fasa pertama Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13) menjadi platform penting untuk memperkukuh hala tuju ekonomi negara selari dengan agenda Ekonomi MADANI yang menekankan pertumbuhan bernilai tinggi.

“Fokus utama kini ialah peningkatan produktiviti, penciptaan pekerjaan berkualiti dengan gaji yang lebih baik, serta usaha mengurangkan jurang sosioekonomi dalam kalangan rakyat,” memetik Awani online.

Ahmad Zahid berkata keperluan merombak struktur sosial supaya kumpulan berpendapatan pertengahan menjadi kelompok terbesar, terutamanya dalam kalangan Bumiputera.

Beliau juga mengimbas ketidakseimbangan ekonomi sejak 1970-an apabila pemilikan ekuiti Bumiputera berada pada tahap rendah berbanding kaum lain, malah pemilikan asing ketika itu lebih tinggi.

“Walaupun sasaran 30 peratus pemilikan ekuiti Bumiputera telah lama digariskan, pelaksanaannya perlu dinilai secara kritikal. Inilah yang saya maksudkan sebagai ‘self-criticism’ secara positif supaya jurang itu tidak terus melebar,” katanya lagi.

Ahmad Zahid turut berkata, agenda Bumiputera bukan untuk mengehadkan peluang kaum lain, sebaliknya bertujuan mengukuhkan asas ekonomi domestik secara keseluruhan.

“Kerajaan turut memberi tumpuan kepada pembangunan di peringkat daerah dan wilayah serta memastikan limpahan ekonomi dirasai melalui penciptaan pekerjaan, pengukuhan rantaian bekalan dan pertumbuhan pelbagai sektor, termasuk peranan sektor swasta.

“Keutamaan kita adalah keadilan, kemampanan dan kesejahteraan rakyat, selari dengan matlamat membina ekonomi yang berdaya tahan dan inklusif untuk semua,” katanya lagi.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button