BERITA SEMASA

Garis panduan aktiviti hiburan IPT tertakluk pada pengurusan IPT, mahasiswa

KUALA LUMPUR – Penentuan garis panduan penganjuran aktiviti hiburan atau konsert di institusi pengajian tinggi (IPT) di seluruh negara masih tertakluk kepada pengurusan IPT dengan penglibatan majlis perwakilan pelajar atau persatuan mahasiswa.

Jabatan Pendidikan Tinggi (JPT) dalam satu kenyataan hari ini menegaskan bahawa pengumuman mengenai perkara itu yang tular baru-baru ini masih di peringkat rujukan IPT dalam penentuan garis panduan masing-masing.

“Selaras pengumuman Menteri Pendidikan Tinggi supaya garis panduan menjalankan aktiviti hiburan (konsert) di IPT perlu dirangka dan disediakan oleh IPT melalui penglibatan Majlis Perwakilan Pelajar/ Kesatuan Mahasiswa (MPP/KM), JPT dengan ini mengarahkan pengurusan IPT memastikan MPP/KM dilibatkan dalam proses perangkaan garis panduan agar ianya mengambil kira suara dan keperluan mahasiswa serta kesesuaian di setiap IPT dan lokaliti sebelum ia diguna pakai secara rasmi di peringkat IPT masing-masing.

“Ruang dan peluang yang diberikan kepada pelajar ini sebagai elemen pemerkasaan mahasiswa selaku pemegang taruh utama. Hal ini sekali gus menepati langkah agenda pemerkasaan mahasiswa yang sedang dibawa oleh YB Menteri Pendidikan
Tinggi,” kata JPT hari ini.

Pada 1 September lalu, Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled menyerahkan keputusan kepada mahasiswa dan pengurusan IPT untuk menentukan garis panduan sebarang aktiviti hiburan atau konsert yang hendak diadakan di institusi pengajian masing-masing.

Khaled berkata demikian ketika mengulas garis panduan aktiviti hiburan di IPT yang dicadangkan JPT dan tular di media sosial baru-baru ini.

Sehubungan itu, Khaled mengarahkan JPT supaya menyediakan garis panduan sebelum ia diluluskan.

Sebelum ini, tular di laman Facebook mengenai garis panduan bagi aktiviti hiburan (konsert) di IPT, yang antara lain menyatakan penonton perlu diasingkan mengikut jantina lelaki dan perempuan, selain memperkenalkan kod pakaian dan melarang pakaian memaparkan logo illuminati, lesbian, gay, biseksual dan transeksual (LGBT).

 

 

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button