JENAYAH & MAHKAMAH

Polis Selangor tumpaskan tiga sindiket penipuan dalam talian, 20 individu ditahan

SHAH ALAM – Polis Selangor berjaya menumpaskan tiga sindiket penipuan dalam talian yang menyasarkan warga asing menerusi kegiatan pusat panggilan atau call center, dengan penahanan 20 individu dalam tiga serbuan berasingan di beberapa daerah di negeri ini antara 23 hingga 28 Januari lalu.

Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar berkata, kesemua suspek berusia antara 25 hingga 36 tahun membabitkan 18 lelaki dan dua wanita, termasuk seorang warga tempatan manakala selebihnya adalah warga asing.

Menurutnya, kejayaan tersebut hasil kerjasama bersepadu Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Kontinjen Selangor bersama beberapa Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) di negeri ini.

“Serbuan pertama dilakukan pada 23 Januari di sebuah rumah di Bandar Sungai Long, Kajang, dengan penahanan enam individu terdiri daripada seorang lelaki tempatan, empat lelaki warga asing dan seorang wanita warga asing yang terbabit dalam sindiket penipuan kerja sambilan secara dalam talian.

“Siasatan mendapati sindiket ini menyasarkan warga asing termasuk dari Australia, Itali, China dan Pakistan, dengan suspek berperanan sebagai operator bagi memujuk mangsa menyertai tawaran kerja sambilan menerusi aplikasi WhatsApp, Telegram serta laman web tertentu,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor, semalam.

Beliau berkata, dalam serbuan berkenaan, polis merampas beberapa unit komputer, telefon bimbit dan peranti WiFi mudah alih dengan nilai rampasan dianggarkan RM30,000.

Shazeli berkata, serbuan kedua dijalankan pada 26 Januari di sebuah rumah di Putra Permai, Seri Kembangan, sekitar jam 9.15 malam, dengan penahanan sembilan lelaki warga asing yang disyaki terbabit dalam sindiket penipuan pelaburan saham secara dalam talian.

“Sindiket ini beroperasi sejak November tahun lalu dan menyasarkan mangsa warga China, dengan suspek bertindak sebagai operator mempromosikan pelaburan melalui aplikasi Telegram dan TRS.

“Dalam operasi itu, polis merampas komputer riba, telefon bimbit dan modem dengan nilai rampasan kira-kira RM35,000,” katanya lagi.

Menurutnya, serbuan ketiga dilakukan pada 28 Januari di sebuah unit kondominium di Bandar Puteri, Puchong, dengan penahanan lima warga asing membabitkan empat lelaki dan seorang wanita.

“Sindiket ini dipercayai beroperasi sejak Disember tahun lalu dan menyasarkan mangsa warga Pakistan, dengan suspek mengiklankan tawaran kerja sambilan melalui aplikasi TikTok,” katanya lagi.

Shazeli berkata, kesemua kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan dan Seksyen 120B Kanun Keseksaan.

“Bagi kes di Bandar Sungai Long, semua suspek telah dituduh di mahkamah mengikut Seksyen 120B(2) Kanun Keseksaan dan masing-masing didenda RM2,500.

“Suspek lain direman antara lima hingga tujuh hari bagi membantu siasatan lanjut dan semakan mendapati mereka tidak mempunyai rekod jenayah serta negatif ujian saringan air kencing,” katanya lagi.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button