POLITIK

PAS nilai permohonan tiga bekas ADUN Perlis sebagai ahli baharu

KOTA BHARU – Permohonan tiga bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Perlis bagi menyertai PAS akan diproses dan penyertaan mereka akan dianggap sebahai ‘ahli baharu’.

Setiausaha Agung PAS, Datuk Seri Takiyuddin Hassan, berkata parti itu akan memproses permohonan mereka mengikut prosedur standard yang ditetapkan.

Beliau bagaimanapun berkata, pejabatnya masih belum menerima borang permohonan rasmi mereka.

Sebagai rekod, tiga bekas ADUN terbabit ialah Saad Seman (Chuping), Fakhrul Anwar Ismail (Bintong) dan Mohd Ridzuan Hashim (Guar Sanji).

Keahlian tiga ADUN terbabit ditamatkan selepas mereka bersama lima ADUN dari BERSATU menyokong menteri besar Perlis baharu menggantikan ADUN Sanglang, Shukri Ramli dari PAS.

“Saya dimaklumkan ketiga-tiga mereka telah mengemukakan permohonan baharu sebagai ahli PAS.

“Saya telah dimaklumkan, tetapi pejabat saya belum menerima apa-apa (permohonan) secara rasmi lagi. Saya hanya dimaklumkan oleh sekretariat Majlis Syura semalam,” katanya, hari ini.

Takiyuddin yang juga Ahli Parlimen Kota Bharu berkata, proses permohonan berkenaan akan melalui langkah biasa sebelum dikemukakan kepada Jawatankuasa PAS Pusat untuk dibuat keputusan.

“Keputusan sama ada permohonan itu akan diluluskan atau tidak akan dibuat oleh kepimpinan pusat parti.

“Di situlah akan diputuskan sama ada mereka diterima atau sebaliknya,” katanya lagi.

Laporan media semalam menyebut, Majlis Syura PAS menyerahkan kepada kepimpinan pusat parti untuk membuat keputusan berhubung rayuan yang dikemukakan oleh tiga bekas ADUN Perlis itu yang dipecat ketika krisis politik negeri berkenaan bulan lalu.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button