BERITA SEMASADALAM NEGERI

KPM umum pengambilan 20,000 guru tampung keperluan seluruh negara

PUTRAJAYA – Kementerian Pendidikan (KPM) akan membuka permohonan pengambilan seramai 20,000 Pegawai Perkhidmatan Pendidikan (PPP) Gred DG9 secara lantikan kontrak atau Contract of Service (CoS) bermula 2 hingga 20 Mac ini bagi menampung keperluan guru di seluruh negara.
Ketua Pengarah Pendidikan, Dr. Mohd. Azam Ahmad berkata, pengambilan berskala besar itu merupakan antara persediaan awal KPM menjelang pelaksanaan Rancangan Pendidikan Malaysia (RPM) 2026–2035, selain menyokong dasar kemasukan kanak-kanak berusia enam tahun ke Tahun Satu secara sukarela mulai tahun hadapan.
Menurut beliau, hebahan rasmi berkaitan pengambilan berkenaan akan dibuat pada 23 Februari, manakala proses saringan dan temu duga dijadualkan berlangsung dari 27 April hingga 14 Mei dengan kerjasama Suruhanjaya Perkhidmatan Pendidikan.
“KPM komited memastikan kecukupan tenaga pengajar serta terus memperkukuh kualiti pendidikan negara selari dengan agenda Kerajaan MADANI,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau menambah, bagi menjamin tahap kompetensi guru, calon yang berjaya akan diwajibkan mengikuti latihan ikhtisas di Institut Pendidikan Guru (IPG) KPM merangkumi pelbagai bidang pengkhususan sebelum ditempatkan di sekolah.
“Inisiatif ini mencerminkan komitmen berterusan Kerajaan MADANI dalam mempertingkatkan mutu pendidikan negara demi masa depan anak-anak Malaysia,” katanya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button