Pengukuhan ringgit cerminan keyakinan pelabur, kekuatan modal insan negara – Ramanan
KUALA LUMPUR – Pengukuhan nilai mata wang ringgit bukan sekadar mencerminkan pergerakan pasaran kewangan atau sentimen jangka pendek ekonomi global, sebaliknya ia menggambarkan tahap keyakinan pelabur, kestabilan dasar negara, kekuatan institusi serta keupayaan modal insan negara ini.
Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Ramanan Ramakrishnan berkata, sejarah dan realiti ekonomi membuktikan sesebuah negara hanya mampu mengekalkan kekuatan mata wang apabila produktiviti buruh meningkat, kemahiran tenaga kerja dipertingkat serta tadbir urus negara dilaksanakan secara telus dan berintegriti.
Justeru itu, beliau berkata, pembangunan tenaga kerja berkualiti menjadi antara teras utama dalam usaha memperkukuh asas ekonomi negara.
Dalam konteks itu, katanya, Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) memainkan peranan strategik sebagai pemangkin kepada pembangunan modal insan negara dengan memberi penekanan kepada latihan kemahiran berimpak tinggi.
“KESUMA juga akan beri penekanan peningkatan kebolehpasaran graduan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), pemerkasaan TVET, penguasaan kemahiran digital serta adaptasi teknologi baharu selari dengan keperluan industri masa hadapan.
“Pendekatan ini bukan sahaja bertujuan meningkatkan produktiviti dan pendapatan rakyat, malah memperkukuh daya saing Malaysia sebagai destinasi pelaburan berkualiti di peringkat antarabangsa,” katanya dalam satu kenyataan.
Baca juga : Ringgit makin kukuh, cecah paras RM3.92 berbanding dolar AS
Ramanan berkata, di bawah kepimpinan YAB Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Kerajaan MADANI telah mengangkat agenda reformasi ekonomi yang berpaksikan ketelusan, integriti, pelaburan berkualiti serta pembangunan insan.
Jelasnya, agenda itu menjadi asas penting dalam membina semula keyakinan terhadap ekonomi negara dan seterusnya menyumbang kepada pengukuhan kedudukan ringgit.
Beliau berkata, Kerajaan MADANI tidak mahu sebuah ekonomi yang hanya kukuh dari sudut angka dan statistik semata-mata, tetapi sebuah ekonomi yang benar-benar memberi manfaat secara langsung kepada rakyat.
Manfaat itu katanya, termasuk melalui gaji yang lebih baik, peluang pekerjaan berkualiti, perlindungan sosial yang menyeluruh serta jaminan masa depan yang lebih terjamin khususnya untuk generasi muda.
Dalam pada itu, katanya, KESUMA akan terus komited memainkan peranan penting dalam melahirkan tenaga kerja yang bukan sahaja mahir dan berdaya saing, malah beretika, berdisiplin dan bersedia menghadapi cabaran ekonomi global yang semakin kompleks.
“Hakikatnya, pengukuhan ringgit bukan sekadar soal kadar pertukaran mata wang, tetapi soal membina sebuah negara yang stabil, rakyat yang berdaya saing dan ekonomi yang mampan,” katanya.
Beliau yakin dengan semangat Malaysia MADANI, kepimpinan yang berprinsip serta kerjasama padu seluruh rakyat tanpa mengira kaum dan latar belakang, Malaysia mampu melangkah lebih jauh sebagai sebuah negara yang makmur, inklusif dan berdaya tahan.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |







