Kes rasuah ATM: Jika bersalah, hilang kehormatan sebagai pahlawan – Mohamed Khaled
KUALA LUMPUR – Mana-mana anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) tanpa mengira pangkat, akan kehilangan kehormatan sebagai seorang pahlawan sekiranya didapati bersalah terlibat dalam rasuah, salah guna kuasa atau kegelinciran integriti.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin menegaskan, Kementerian Pertahanan (MINDEF) tidak akan melindungi sesiapa dan semua individu yang terlibat telah serta akan dihadapkan ke mahkamah, dengan keputusan diserahkan sepenuhnya kepada sistem keadilan negara.
Menurut beliau, pendirian tegas itu diambil susulan pelbagai isu integriti yang melanda ATM kebelakangan ini, termasuk pertuduhan di mahkamah terhadap bekas Panglima Angkatan Tentera dan bekas Panglima Tentera Darat, selain kemungkinan beberapa lagi pertuduhan lain.
“Semua ini telah menyebabkan wibawa dan keutuhan ATM dipersoal oleh rakyat. Apabila isu ini menjadi perbahasan umum, yang tercedera bukan sahaja ATM, malah imej dan wibawa Malaysia sebagai sebuah negara,” katanya.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Kota Tinggi berkata demikiann ketika menerangkan situasi semasa Kementerian Pertahanan dan ATM di Dewan Rakyat, hari ini.
Baca juga : MINDEF junjung kasih titah Agong, tegas tangani salah guna kuasa, rasuah dalam ATM
Beliau berkata, MINDEF kini mengambil tindakan drastik bagi memerangi segala bentuk kegelinciran integriti dan penyalahgunaan kuasa, termasuk membuka ruang seluas-luasnya kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk menjalankan siasatan secara bebas, telus dan berkesan.
Dalam masa sama, Khaled memaklumkan usaha memulihkan kepercayaan rakyat terhadap ATM merupakan keutamaan Kerajaan MADANI, namun menegaskan bahawa tindakan mengenal pasti dan mendakwa pihak terlibat semata-mata tidak mencukupi.
“Sehubungan itu, MINDEF akan melaksanakan pembaharuan menyeluruh tatakelola kementerian melalui penstrukturan semula proses perolehan, pendigitalan sistem, penggunaan kecerdasan buatan (AI), penubuhan Lembaga Pengukuhan Keutuhan dan Amanah serta pelaksanaan kerangka Environmental, Social and Governance (ESG),” katanya.
Langkah-langkah berkenaan katanya, bertujuan menutup ruang rasuah, meningkatkan kecekapan perkhidmatan serta memastikan MINDEF dan ATM mempunyai sistem operasi yang unggul, telus dan berteraskan kelestarian.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








