Koleksi Galur 2026 Qhiam tonjolkan gaya moden, semangat kekeluargaan di musim raya
BANGI – Qhiam, jenama fesyen tempatan yang semakin mendapat tempat di hati peminat fesyen moden, memperkenalkan koleksi Raya 2026 dengan menekankan elemen kekeluargaan dan rekaan baharu yang segar.
Tahun ini, jenama itu menampilkan koleksi Galur untuk keluarga, termasuk lelaki dewasa, wanita dewasa dan kanak-kanak, menekankan semangat kebersamaan pada musim perayaan.
Pengasas Qhiam, Adam berkata, koleksi Galur menampilkan baju Melayu, cekak musang, teluk belanga, kebaya dan baju budak, sekali gus mencerminkan nilai kekeluargaan dalam koleksi berkenaan.
“Untuk tahun ini kita lebih fokus kepada set keluarga. Tahun lepas kami tiada cekak musang dan baju budak, jadi tahun ini kita tambah semuanya,” katanya ketika ditemui selepas majlis perasmian cawangan butik baharu Qhiam di Bangi baru-baru ini.

Beliau menambah, butik pakaian kedua Qhiam kini dibuka di Bangi selepas kejayaan cawangan pertama di Shah Alam, manakala lokasi baharu akan dibuka di IOI City Mall, Putrajaya dalam masa terdekat.
Mengulas lanjut, Adam berkata, Qhiam tidak berhasrat berlumba dengan jenama lain memandangkan masih berada dalam fasa permulaan.
“Kami cuba kekalkan apa yang komuniti kami mahukan, daripada pelanggan lama dan baru. Tahun ini sasaran jualan kami adalah untuk menggandakan prestasi tahun lepas,” katanya.
Adam berkata, koleksi tahun ini turut menampilkan pelbagai saiz dari L ke atas, memenuhi permintaan pelanggan yang menggemari potongan longgar.
Semua rekaan termasuk untuk wanita, seperti kebaya dan kurung menggunakan fabrik selesa dan premium, dengan sentuhan moden pada rekaan klasik.
“Kain kami lebih selesa daripada jenama lain, dan ada elemen klasik serta moden untuk menarik minat semua peringkat umur,” jelas Adam.

Qhiam juga memperkenalkan Kurta Teman dengan enam rekaan baharu, menggabungkan fabrik ringan, potongan moden dan tradisi.
Koleksi Artisan Teras menampilkan potongan klasik seperti pesak, kolar teluk belanga dan lengan tiga suku, menunjukkan komitmen jenama terhadap ketelitian seni jahitan tradisional.
Baca juga : Qhiam perkenal ‘Sendja’ angkat warisan tradisi dalam arus moden
Selain itu, jenama adik Qhiam, Sendja, menawarkan 13 rekaan baharu untuk gadis muda, menekankan gaya moden, serba boleh, dan fabrik berkualiti, sesuai untuk ekspresi gaya peribadi tanpa mengabaikan elemen tradisi.
Adam menambah, dengan Qhiam Raya 2026, jenama itu ingin meraikan keluarga, tradisi dan gaya moden apabila koleksi baharu Qhiam dirancang untuk memenuhi citarasa setiap keluarga.
“Dengan kehadiran butik di Shah Alam, pembukaan kedai baharu di Bangi dan tidak lama lagi di Putrajaya, musim Raya kali ini dijangka meninggalkan kenangan indah buat semua pelanggan Qhiam,” katanya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








