Dr Akmal Saleh cabar AMANAH, tidak perlu ‘beri amaran’
KUALA LUMPUR – Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh menegaskan AMANAH tidak perlu mengeluarkan sebarang amaran kepada UMNO susulan tuntutan Parti Amanah Negara (AMANAH) berhubung agihan kerusi bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka dan Johor.
Dr Akmal secara terbuka membidas kenyataan pemimpin AMANAH yang sebelum ini tidak menolak kemungkinan pertandingan tiga penjuru sekiranya rundingan kerusi bersama Barisan Nasional (BN) gagal mencapai persetujuan.
“Tidak perlu acah-acah nak bagi amaran. Ingat kami ni apa nak bagi amaran bagai. Lawan je lah, sembang apa,” katanya dalam satu hantaran di laman Facebook hari ini.
Kenyataan itu dipercayai merujuk kepada pendirian Pengarah Komunikasi AMANAH, Khalid Abdul Samad yang menuntut pembahagian kerusi PRN Melaka dan Johor dilakukan secara seimbang antara Pakatan Harapan (PH) dan BN, selaras dengan semangat Kerajaan Perpaduan.
Terdahulu, Khalid dilaporkan berkata pendekatan memberi keutamaan kepada penyandang atau ‘incumbent’ tidak lagi wajar kerana dianggap tidak adil kepada parti komponen lain dalam PH, malah Amanah tidak menolak kemungkinan pertandingan tiga penjuru jika rundingan gagal.
Dalam perkembangan sama, Dr Akmal yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Merlimau dilihat konsisten mempertahankan pendirian UMNO agar sebarang rundingan politik tidak dibuat dalam bentuk tekanan atau ugutan terbuka.
Isu agihan kerusi PRN Melaka dan Johor kini terus menjadi perhatian susulan jangkaan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi bahawa PRN Melaka berkemungkinan diadakan dalam tempoh dua hingga 10 bulan akan datang.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








