
Laungan azan dibenarkan di New York
NEW YORK – Laungan azan kini dibenarkan di bandar raya New York pada setiap hari Jumaat dan sepanjang Ramadan.
Laporan agensi Anadolu berkata, kebenaran itu diumumkan Datuk Bandar New York City Eric Adams sambil memaklumkan bahawa melalui penetapan itu, tiada lagi kebenaran perlu dipohon.
“Sudah terlalu lama wujud kekeliruan mengenai komuniti mana yang tidak dibenarkan untuk melaungkan azan mereka.
“Hari ini, kami mengetepikan karenah birokrasi dan menyatakan dengan jelas bahawa masjid dan rumah ibadat bebas untuk mengumandangkan azan pada hari Jumaat dan pada bulan Ramadan tanpa perlu memohon kebenaran,” kata Adams dalam satu sidang akhbar pada Selasa.
Adams turut berkata, semua pihak bebas mengamalkan kepercayaan masing-masing di New York City kerana di bawah undang-undang semua pihak berhak mendapat layanan yang sama.
Mengikut peraturan baharu tersebut, masjid boleh menyiarkan laungan azan setiap Jumaat antara 12.30 tengah hari dan 1.30 tengah hari, serta sebelum berbuka puasa, setiap petang pada Ramadan.
New York menjadi lokasi kedua di Amerika Syarikat yang membenarkan laungan azan selepas bandar Minneapolis melaksanakannya pada April lalu.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








