BERITA SEMASA

KPKT sedia tambah baik RUU PSB, jamin hak pemilik asal

PUTRAJAYA – Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) akan meneruskan usaha menambah baik Rang Undang-Undang (RUU) Pembaharuan Semula Bandar (PSB) bagi memastikan hak pemilik asal terjamin secara lebih menyeluruh.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming berkata, kementerian itu akan terus menjalankan sesi libat urus bersama penduduk setempat, ahli akademik, wakil rakyat serta pakar industri supaya setiap pandangan dan kebimbangan dapat diambil kira.

Beliau berkata demikian susulan keputusan Jemaah Menteri untuk menarik balik RUU PSB bagi tujuan penambahbaikan sebelum dibentangkan semula di Parlimen.

Menurutnya, RUU PSB digubal dengan tujuan utama meningkatkan kualiti hidup rakyat di kawasan bandar yang daif dan usang, di samping menjana semula pembangunan sosioekonomi setempat secara mampan.

“Tujuan RUU PSB ini adalah untuk meningkatkan kualiti hidup rakyat di kawasan bandar yang daif dan usang, menjana semula sosioekonomi setempat serta memastikan hak pemilik asal terjamin dalam proses pembaharuan semula bandar,” katanya lagi.

Kor Ming berkata, KPKT akan meneliti secara terperinci setiap maklum balas yang diterima bagi memastikan peruntukan undang-undang berkenaan benar-benar melindungi kepentingan pemilik asal.

“Kementerian akan terus menambah baik RUU ini supaya jaminan terhadap hak pemilik asal dapat dilaksanakan secara lebih menyeluruh dan berkesan,” katanya lagi.

Beliau berkata, selepas proses penambahbaikan dimuktamadkan, RUU PSB akan dibentangkan semula di Parlimen dalam format yang lebih lengkap dan diperkukuh.

“KPKT kekal komited untuk memastikan RUU PSB yang bakal dibentangkan kelak menyokong agenda pembaharuan semula bandar yang lebih selamat, terancang, mampan dan berdaya huni, selaras dengan aspirasi Kerajaan MADANI,” katanya lagi.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button