Tapak baharu Kuil Dewi Sri Pathrakaliamman sudah sah, pemindahan dilaksana secara terancang – Hannah Yeoh
KUALA LUMPUR – Kerajaan mengesahkan bahawa tapak baharu bagi Kuil Dewi Sri Pathra Kaliamman telah siap disediakan berlandaskan undang-undang selepas mengambil kira keharmonian antara agama.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh berkata, kerajaan komited memastikan kelangsungan amalan keagamaan semua pihak dengan menyediakan tapak alternatif serta mempercepatkan proses kelulusan berkaitan pemindahan kuil berkenaan.
“Semua kelulusan utama telah disempurnakan, termasuk kelulusan Pelan Bangunan oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) pada 17 September 2025, pewartaan tapak baharu sebagai Rumah Ibadat Bukan Islam pada 5 Disember 2025 serta kelulusan Kebenaran Membina Bangunan oleh Jawatankuasa Kerja Tanah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (JKTWPKL) pada 14 Januari 2026,” katanya dalam kenyataan di Facebook hari ini.

Hannah berkata, kerajaan kini sedang menyelaras pelaksanaan pemindahan kuil di peringkat operasi dengan penglibatan semua agensi dan pihak berkaitan menerusi mesyuarat penyelarasan yang diadakan hari ini bagi memperincikan langkah pemindahan dan pembinaan.
“Kerajaan juga akan meneruskan perbincangan secara rapat dan berkala dengan semua pihak, khususnya selepas Perayaan Thaipusam, bagi memastikan proses pemindahan dan pembinaan dilaksanakan secara teratur serta saling menghormati,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Hannah turut merakamkan penghargaan kepada mantan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Datuk Seri Dr. Zaliha Mustafa serta bekas Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Maimunah Sharif atas kejayaan menyediakan tapak baharu bagi kuil tersebut.
Menurut Hannah, pendekatan yang diambil ini mencerminkan semangat pentadbiran Wilayah Persekutuan dalam mengurus perbezaan secara matang dan berhemah, berpaksikan prinsip saling menghormati serta mendahulukan kepentingan bersama demi kesejahteraan masyarakat berbilang kaum dan agama.
Pada Mac tahun lalu, isu kontroversi membabitkan Kuil Dewi Sri Pathra Kaliamman di Jalan Masjid India mencapai titik noktah apabila pihak pengurusan rumah ibadat itu bersetuju berpindah ke tapak baharu yang terletak 50 meter dari tapak asal kuil berkenaan.
Bagaimanapun beberapa hari lalu, timbul kegusaran dalam kalangan masyarakat India apabila pihak pengurusan kuil itu mendedahkan Jakel Trading yang merupakan pemilik sebenar tanah kuil berkenaan telah menghantar satu notis tuntut agar kuil itu dipindahkan dalam tempoh tujuh hari.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








