Berita Semasa

Sultan Johor mahu Anwar diberi lebih masa bangun ekonomi

JOHOR BAHRU – Sultan Johor, Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar bertitah supaya Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim diberikan lebih masa untuk meningkatkan ekonomi negara.

Baginda bertitah, Anwar berdepan cabaran kewangan yang sukar ketika mengambil alih pentadbiran bersama Kerajaan Perpaduan.

“Anwar hanya menyedari kesulitan kewangan kerajaan selepas memegang jawatan. Saya percaya beliau memerlukan lebih banyak masa,” titah baginda dalam wawancara akhbar Sin Chiew Daily, baru-baru ini.

Sementara itu, Sultan Ibrahim turut memuji kejayaan Menteri Kewangan itu membawa masuk pelaburan asing ke negara ini.

Salah satu daripadanya adalah hasil daripada lawatan rasmi Anwar ke China pada awal tahun ini yang berjaya membawa kembali banyak hasil positif kepada pertumbuhan ekonomi negara.

Delegasi lawatan yang bermula pada 29 Mac hingga 1 April itu menyaksikan Malaysia memperoleh komitmen pelaburan sebanyak RM170 bilion dari China.

Johor turut mendapat sebahagian besar daripada komitmen berkenaan dengan pelaburan RM80 bilion daripada syarikat petrokimia terbesar China, Rongsheng Petrochemical Co Ltd.

Show More

Related Articles

Back to top button