BERITA SEMASAHIBURAN

Jenazah Nadia Kesuma dikebumi selepas Subuh waktu Jeddah

KUALA LUMPUR – Jenazah pelakon Allahyarhamah Nadia Kesuma, 50, akan dikebumikan selepas Subuh waktu Jeddah, hari ini.

Perkara itu dimaklumkan suami arwah, Prof Dr Muhammad Kamarul Kabilan Abdullah, 57, menerusi hantaran terkini di akaun Facebooknya.

“Jenazah sudah dimandikan oleh anak (Sarah dan rakan arwah) serta telah disembahyangkan. Saya sendiri menunaikan solat jenazah dan menjadi imam.

“Alhamdulillah. Jenazah akan dikebumikan selepas Subuh (waktu Jeddah pukul 5.44 pagi, bersamaan 10.44 pagi waktu tempatan),” tulis beliau.

Semalam, Muhammad Kamarul berlepas ke Jeddah bersama anak perempuannya, Sarah bagi menguruskan jenazah Nadia yang berada di Hospital Raja Fahad.

Media sebelum ini melaporkan, Nadia Kesuma atau nama sebenarnya Nadia Kasumawati Abdul Karim, meninggal dunia pada Khamis lalu, iaitu hari sama beliau dilaporkan hilang di Lapangan Terbang Raja Abdul Aziz, Jeddah.

Berita kehilangan Nadia timbul ketika beliau menyertai pakej lawatan Umrah-London-Paris bersama 20 peserta lain yang dianjurkan oleh Nuh Travel & Tours Sdn Bhd.

Jemaah berlepas dari Kuala Lumpur ke Jeddah untuk transit seterusnya ke London dan Paris sebelum kembali ke Arab Saudi untuk menunaikan umrah.

Terdahulu, berita kehilangan Allahyarhamah pada awalnya dimaklumkan pelakon, Anne Abdullah.

Kelmarin, Muhammad Kamarul mengesahkan pemergian isterinya selepas dimaklumkan pihak Wisma Putra.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button