Pelan Pembangunan Pendidikan 2026-2035 tetapkan KPI lebih tegas
PUTRAJAYA – Pelan Pembangunan Pendidikan 2026-2035 yang bakal dilancarkan akan menetapkan sasaran prestasi utama (KPI) yang lebih tegas.
Antaranya, pelajar sekolah rendah dan menengah perlu memperoleh sekurang-kurangnya gred C bagi empat mata pelajaran teras, iaitu Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Matematik dan Sejarah.
Selain itu, Kementerian Pendidikan (KPM) turut mensasarkan 90 peratus pelajar sekolah rendah tahap dua hingga Tingkatan Lima lulus penilaian kecergasan fizikal dan kesihatan, lapor The Star.
Menurut Ketua Pengarah Pendidikan, Dr. Mohd Azam Ahmad, pelan baharu itu dibina berasaskan tujuh teras utama yang memberi tumpuan kepada sistem pendidikan yang inklusif, dinamik dan relevan, selain memaksimumkan potensi pelajar melalui pembelajaran bermakna serta memperkukuh kualiti guru dan kecekapan sistem secara keseluruhan.
“Sasaran ini bukan sekadar pada keputusan peperiksaan, tetapi juga melibatkan pengajaran dalam kelas, aktiviti sekolah dan interaksi antara guru dan murid,” katanya.
Beliau turut memaklumkan satu unit khas telah ditubuhkan bagi memantau pelaksanaan pelan tersebut supaya reformasi berkenaan benar-benar sampai ke peringkat sekolah.
Pelan baharu itu, katanya, menekankan konsep pendidikan berteraskan insan, dengan matlamat melahirkan individu yang seimbang dari segi ilmu, kemahiran, emosi dan kesejahteraan mental.
Pelan Pembangunan Pendidikan 2026-2035 dijadual dilancarkan secara rasmi oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 20 Januari di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), di sini.
Dalam pada itu, Mohd Azam mengakui beberapa sasaran di bawah Pelan Pembangunan Pendidikan 2013-2025 gagal dicapai akibat kesan pandemik COVID-19 serta perubahan landskap sosial dan teknologi.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








