BERITA SEMASA

Pengakap Berasaskan Komuniti dilancar di Sarawak, perluas capaian Pengakap dalam masyarakat

BINTULU – Persekutuan Pengakap Malaysia (PPM) terus memperkukuh peranannya sebagai wadah pembentukan sahsiah dan kepimpinan belia menerusi pelancaran Kumpulan Pengakap di bawah program Community-Based Scouting (CBS) atau Pengakap Berasaskan Komuniti, yang berlangsung di sini hari ini.

Ketua Pengakap Negara, Mejar Jeneral Datuk Prof Dr Mohd Zin Bidin, berkata pendekatan CBS mampu memperluaskan capaian pergerakan Pengakap agar lebih inklusif serta responsif terhadap keperluan masyarakat setempat.

“Idea Community-Based Scouting ini lahir daripada kesedaran bahawa walaupun Pengakap berasaskan sekolah telah banyak berjasa, kita perlu memperluaskan lagi capaian pergerakan ini supaya manfaatnya dapat dinikmati dengan lebih meluas,” katanya ketika berucap pada majlis tersebut.

Pengakap
Ketua Pengakap Negara, Mejar Jeneral Datuk Prof Dr Mohd Zin Bidin (tiga dari kanan) bersama tetamu lain bermesra dengan ahli Pengakap pada majlis pelancaran Kumpulan Pengakap di bawah program Community-Based Scouting (CBS) atau Pengakap Berasaskan Komuniti di Bintulu, Sarawak.

Beliau menjelaskan, CBS membuka peluang kepada semua golongan belia untuk menyertai Pengakap tanpa mengira latar belakang pendidikan, di samping membolehkan program kepengakapan dilaksanakan secara lebih dekat dengan komuniti.

“Melalui CBS, Pengakap dibawa terus ke kampung, kawasan perumahan dan komuniti setempat. Pendekatan ini menjadikan pergerakan Pengakap lebih inklusif, mudah diakses serta lebih responsif terhadap keperluan sebenar masyarakat,” katanya.

Mengulas mengenai pelaksanaan CBS di Sarawak beliau berkata, pendekatan tersebut amat bertepatan dengan keadaan negeri itu yang mempunyai keluasan geografi yang luas serta kepelbagaian komuniti.

“Bagi Sarawak khususnya, CBS membuka peluang kepada lebih ramai belia, tanpa mengira lokasi atau latar belakang pendidikan, untuk menyertai Pengakap dan menikmati manfaat pembentukan sahsiah, disiplin serta kepimpinan,” jelasnya.

Dalam perkembangan sama, beliau turut memaklumkan bahawa PPM menyasarkan peningkatan keahlian Pengakap daripada kira-kira 700,000 orang ketika ini kepada satu juta ahli dalam tempoh beberapa tahun akan datang, khususnya menerusi pelaksanaan CBS secara meluas di seluruh negara.

Majlis pelancaran tersebut telah dihadiri Menteri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak, Datuk Seri Dr Stephen Rundi.

Turut hadir ialah Penasihat di Jabatan Premier Sarawak merangkap Yang Dipertua Majlis Pengakap Sarawak, Tan Sri William Mawan Ikom; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Batu, Johnny Pang Leong Ming; serta Timbalan Yang Dipertua Majlis Pengakap Negara, Datuk Ahmad Shazilly Ismail Bakti.

Pelancaran Pengakap Berasaskan Komuniti ini dijangka menjadi pemangkin kepada pembangunan belia, memperkukuh perpaduan komuniti serta melahirkan barisan pemimpin masa depan yang berakhlak, berdisiplin dan berjiwa khidmat.


SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button