DALAM NEGERI

Polis buka kertas siasatan kes bekas wartawan FMT Rex Tan

KUALA LUMPUR – Polis mengesahkan sudah membuka kertas siasatan ke atas bekas wartawan portal berita Free Malaysia Today (FMT) Rex Tan, susulan soalan kontroversi yang dikemukakannya dalam satu wacana awam pada Isnin lalu.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk M Kumar berkata, Polis Diraja Malaysia (PDRM) melalui Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) Bahagian D5 Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman sedang menjalankan siasatan berhubung satu kes penularan rakaman video berhubung kejadian.

Menurutnya, sebanyak tiga laporan polis diterima berkaitan isu itu sekaligus mencerminkan kegusaran awam terhadap insiden terbabit.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948, Seksyen 505(c) Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

“Seorang lelaki (wartawan) berusia 30 tahun ditangkap oleh sepasukan polis dari USJT pada sekitar jam 12 tengah malam tadi bagi membantu siasatan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, PDRM menegaskan tindakan tegas tanpa kompromi akan diambil terhadap mana-mana individu yang dipercayai menimbulkan hasutan serta permusuhan dalam kalangan masyarakat dan siasatan menyeluruh akan dijalankan mengikut peruntukan undang-undang sedia ada.

“Orang ramai juga dinasihatkan sentiasa berhemah dan bertanggungjawab dalam mengeluarkan sebarang kenyataan atau kandungan di ruang awam mahupun media sosial,” katanya.

Terdahulu media melaporkan, Rex Tan direman sehari selepas ditahan tengah malam tadi bagi membantu siasatan membabitkan soalan yang didakwa mengandungi unsur perkauman.

Peguamnya, Rajsurian Pillai berkata, wartawan terbabit direman sehari dan dijangka dibebaskan pukul 5 petang ini.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button