BERITA SEMASAPMX

Pelaksanaan SARA cerminan semangat MADANI, pastikan rakyat tidak tercicir – PM

PUTRAJAYA – Pelaksanaan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) yang mula disalurkan kepada 3.1 juta individu bujang hari ini mencerminkan semangat MADANI dalam memastikan kebajikan rakyat terus terbela.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, penambahbaikan inisiatif itu dirangka dengan pendekatan lebih tersusun, bersasar dan berterusan bagi membantu rakyat memenuhi keperluan asas, seiring usaha Kerajaan MADANI meringankan tekanan kos sara hidup.

Anwar Ibrahim
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Lebih daripada sekadar bantuan tunai, inisiatif ini turut memberi nafas baharu kepada ekonomi tempatan.

“Penyertaan kedai-kedai kecil dalam rangkaian SARA kini diperluaskan kepada 10,000 premis di seluruh negara supaya manfaat kekayaan negara tidak hanya berlegar di pusat semata-mata tetapi mengalir kepada peniaga kecil di bandar, pekan dan desa,” katanya menerusi hantaran di Facebook.

Beliau menegaskan, kerajaan komited memastikan tiada rakyat yang tercicir atau terpinggir dalam memenuhi keperluan asas kehidupan, selari dengan prinsip keadilan sosial yang menjadi teras pentadbiran MADANI.

Katanya, pelaksanaan SARA selaras dengan aspirasi Kerangka Ekonomi MADANI yang menekankan kesejahteraan rakyat, kemakmuran bersama dan pembangunan yang inklusif.

“Inilah semangat MADANI yakni kita berdiri sama tinggi, duduk sama rendah, melangkah bersama membina masa depan negara berteraskan keadilan, kemakmuran dan kesejahteraan untuk semua,” katanya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button