Wartawan FMT mohon maaf, akui kesilapan cetus kontroversi
KUALA LUMPUR – Wartawan Free Malaysia Today (FMT), Rex Tan tampil memohon maaf secara terbuka berhubung soalan yang dikemukakannya semasa ceramah awam bertajuk ‘Gaza Exposes the Complicity of International Actors’ pada 12 Januari lalu.
Rex mengakui soalan tersebut dirangka dengan tidak tepat, kurang relevan dengan acara dan gagal mengambil kira sensitiviti topik yang dibincangkan.
Dia turut menyatakan kekesalan kerana menyebut kaum Cina dan Melayu dalam soalan berkenaan, yang menurutnya tidak perlu dan sepatutnya dielakkan.
“Saya amat kesal atas soalan yang dirangka dengan kurang tepat, kegagalan menilai relevansinya dengan acara ini serta kerana menanyakannya tanpa mengambil kira sensitiviti topik,” katanya dalam satu kenyataan semalam.
Rex berkata, rujukannya kepada Malaya dalam soalan itu juga bersifat keterlaluan, tidak relevan serta mengelirukan, sekali gus tidak mencerminkan profesionalisme sebagai seorang wartawan.
“Saya bertanggungjawab sepenuhnya terhadap kontroversi ini dan tidak akan menyalahkan mana-mana pihak.
“Saya berharap orang ramai tidak mengkritik FMT Media secara berlebihan atau menyerang keluarga dan insan tersayang saya,” katanya lagi.
Rex turut berkata, dia tidak pernah berniat membandingkan keadaan masyarakat Cina di Malaysia dengan situasi di Palestin, serta menolak dakwaan bahawa dia menggunakan istilah ‘apartheid’ dalam soalan tersebut.
“Saya telah menjelaskan, saya tidak membandingkan keadaan masyarakat Cina Malaysia sekarang dengan Palestin. Ia tidak tergambar,” katanya lagi.
Dia turut menyatakan sokongan terhadap perjuangan rakyat Palestin untuk menentukan nasib sendiri dan membebaskan diri daripada pendudukan Israel di Wilayah Palestin yang Diduduki.
Selain itu, Rex menggesa orang ramai agar lebih berhemah dalam berkongsi dan mengulas kandungan berkaitan isu tersebut supaya tidak menimbulkan salah faham serta ketegangan dalam perbincangan awam.
“Saya sekali lagi memohon maaf dengan sepenuh hati atas kesilapan serius ini dan berharap tiada kerosakan lanjut akan menimpa FMT Media atau insan tersayang saya,” katanya lagi.
Kontroversi berkenaan tercetus selepas soalan yang diajukan Rex semasa sesi ceramah menampilkan ahli politik British, George Galloway, menerima kritikan meluas daripada warganet.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








