Dapur Digital jana pulangan RM2.5 juta, perkasa usahawan komuniti
KUALA LUMPUR – Inisiatif Dapur Digital di 15 lokasi sekitar ibu negara berjaya menjana pulangan ekonomi melebihi RM2.5 juta dalam tempoh 18 bulan.
Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata, kejayaan itu bukan sekadar angka, sebaliknya mencerminkan kesungguhan peserta, khususnya dalam kalangan wanita B40, yang kini muncul sebagai penggerak ekonomi baharu negara.
“RM2.5 juta ini bukan satu jumlah kecil. Ia membuktikan bahawa dengan sokongan yang betul, kemahiran serta semangat kerjasama, komuniti mampu menjana pendapatan yang mampan dan peluang kehidupan yang lebih baik.
“Saya juga dimaklumkan peserta dari PPR Kerinchi dan PPR Kampung Limau berjaya memperoleh empat unit lot kedai di Bazaria Pantai. Tahniah kepada semua,” katanya ketika berucap pada Majlis Makan Malam Apresiasi Dapur Digital di sini, malam tadi.
Menurut beliau, inisiatif yang bermula sebagai eksperimen sosial oleh Pepper Labs itu menunjukkan impak memberangsangkan dan wajar diperluaskan ke lebih banyak kawasan.
Fahmi turut berkata, sokongan penuh terhadap hasrat Pepper Labs untuk memperluaskan pelaksanaan Dapur Digital ke 15 lokasi lain di seluruh negara.
Beliau berharap peserta yang telah berjaya dapat tampil sebagai mentor kepada kumpulan baharu pada masa hadapan, sekali gus menjadi bukti bahawa usaha bersungguh-sungguh dengan sokongan kemahiran serta peralatan yang sesuai mampu mengubah kehidupan.
Fahmi turut menyaksikan penyerahan Malaysia Book of Records kepada Dapur Digital sebagai ‘Dapur Digital Komuniti Paling Banyak oleh Sebuah Perusahaan Sosial’, selain menyampaikan sijil penyertaan kepada para peserta.
Untuk rekod, Dapur Digital merupakan inisiatif pemerkasaan komuniti B40, khususnya ibu tunggal dan belia, melalui ekonomi digital hasil kerjasama strategik beberapa agensi kerajaan serta rakan korporat.
Program itu berfungsi sebagai hab ekonomi yang membolehkan usahawan mikro menjana pendapatan dengan memanfaatkan platform penghantaran makanan digital bagi memperluas pasaran dan meningkatkan jualan.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |

