BERITA SEMASA

Dokumentasi kompleks jadi cabaran utama SPRM dalam kes rasuah berprofil tinggi

PUTRAJAYA – Siasatan kes rasuah, terutama melibatkan individu atau syarikat berprofil tinggi, menimbulkan cabaran besar kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kerana proses dokumentasi yang kompleks serta keperluan pembuktian yang teliti.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, dalam kes rasuah, pegawai penyiasat tidak boleh sekadar meneliti transaksi wang semata-mata, sebaliknya mereka perlu menentukan siapa pemberi wang, penerima dan kaitan setiap transaksi dengan isu perolehan atau projek tertentu.

“Dalam kes rasuah, kita tidak hanya melihat berhubung dengan transaksi wang yang telah dikemukakan. Perkara ini menjadi cabaran kepada pegawai penyiasat kerana pembuktian perlu dibuat secara menyeluruh,” katanya dalam sidang media di ibu pejabat SPRM di sini, hari ini.

Baca juga : DPA di peringkat akhir, dijangka dibawa ke Parlimen dalam masa terdekat – Azam Baki

Menurut Azam, setiap kes berprofil tinggi biasanya melibatkan rangkaian transaksi yang kompleks, dokumen bertingkat dan pelbagai pihak, termasuk pegawai kerajaan dan pihak swasta.

“Ini menjadikan proses siasatan lebih panjang dan memerlukan ketelitian maksimum,” katanya.

Selain itu, beliau menekankan pegawai penyiasat perlu mengurus dan menilai dokumen dengan cermat, memastikan setiap bukti dapat disahkan serta boleh digunakan di mahkamah tanpa sebarang kelemahan.

Beliau berkata, kesalahan yang gagal dibuktikan secara menyeluruh berisiko digugurkan atau menghadapi cabaran undang-undang yang serius.

“Setiap elemen bukti perlu dianalisis secara menyeluruh supaya pihak pendakwaan dapat membuktikan kesalahan dengan tepat. Ini bukan kerja mudah kerana banyak transaksi dan dokumen perlu diteliti, serta disahkan kaitannya dengan rasuah,” tambah beliau.

Beliau turut menekankan pentingnya kemahiran teknikal dan pengalaman pegawai penyiasat dalam mengendalikan kes berprofil tinggi.

Justeru, katanya, SPRM perlu memastikan pegawainya sentiasa terlatih dalam analisis dokumen, rekod kewangan dan penyiasatan audit, bagi mengekalkan integriti proses dan ketepatan siasatan.

“Walaupun cabaran siasatan kes kompleks adalah tinggi, SPRM komited memastikan setiap kes rasuah diuruskan dengan teliti, dengan matlamat akhir memulihkan integriti dan akauntabiliti dalam sektor awam serta swasta,” katanya lagi.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button