LUAR NEGARA

Pesawat tentera AS didakwa ‘menyamar’ sebagai pesawat awam ketika serang bot disyaki terlibat penyeludupan dadah

WASHINGTON – Pentagon didakwa menyamarkan pesawat tenteranya sebagai pesawat awam ketika melancarkan serangan pertamanya terhadap sebuah bot yang disyaki terlibat dalam penyeludupan dadah, tahun lalu.

Laporan New York Times menyebut, serangan yang membunuh 11 individu itu melanggar undang-undang antarabangsa konflik bersenjata, yang melarang pihak bertempur daripada “berpura-pura sebagai orang awam untuk memperdaya musuh” dan dianggap sebagai satu jenayah perang yang dipanggil “perfidy”.

Difahamkan, pesawat tentera berkenaan dicat supaya kelihatan seperti pesawat awam manakala sistem persenjataannya disembunyikan di dalam fiuslaj dam bukannya dipasang secara jelas di bawah sayap, lapor akhbar berkenaan semalam.

Serangan itu diumumkan oleh Presiden Donald Trump dalam satu hantaran media sosial pada 2 September tahun lepas, dengan mendakwa sasaran merupakan ahli pertubuhan jenayah Tren de Aragua yang “beroperasi di bawah kawalan Nicolas Maduro, bertanggungjawab terhadap pembunuhan beramai-ramai, penyeludupan dadah, pemerdagangan seks serta tindakan keganasan dan keganasan.”

Sejurus pengumunan berkenaan, Rumah Putih mengesahkan pihak tentera AS bertindak di bawah kuasa Setiausaha Pertahanan Pete Hegseth yang mengarahkan operasi ketenteraan “double-tap”, iaitu menyerang bot itu dua kali.

“Dua mangsa yang terselamat daripada serangan awal kemudiannya dilaporkan melambai” ke arah pesawat yang menyamar itu ketika berpaut pada serpihan, sebelum tentera membunuh mereka dalam serangan susulan, menurut laporan Times.

Pesawat lain yang jelas bersifat ketenteraan, termasuk dron MQ-9 Reaper, telah digunakan dalam serangan ke atas bot-bot tersebut sejak serangan pertama.

Sekurang-kurangnya 123 orang terbunuh dalam sekurang-kurangnya 35 serangan ke atas bot, termasuk serangan pada 2 September itu.

Times melaporkan bahawa persoalan mengenai perfidy telah dibangkitkan oleh Kongres dalam taklimat tertutup bersama pemimpin tentera, namun setakat ini belum ada perbincangan awam mengenai perkara sulit itu.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button