JENAYAH & MAHKAMAH

Lelaki tidak mengaku salah miliki mercun haram

KULIM – Seorang pekerja khidmat pelanggan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen hari ini atas pertuduhan memiliki mercun haram yang meletup dan mencederakan orang awam semasa sambutan Deepavali tahun lalu.

Tertuduh, Muhammad Kamalraaj C. Solamalai, 35, membuat pengakuan tersebut di hadapan Hakim Jamaliah Abd Manap.

Dia didakwa memiliki bahan letupan tanpa tujuan yang sah di Jalan Paya Besar di sini pukul 12 tengah malam, 20 Oktober tahun lalu.

Pertuduhan di bawah Seksyen 8 Akta Bahan Letupan itu memperuntukkan hukuman maksimum penjara tujuh tahun, denda sehingga RM10,000, atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya R. Lushani memohon jaminan sebanyak RM9,000.

Bagaimanapun, peguam bela R. Parameswaran merayu supaya jumlah jaminan dikurangkan kepada RM4,000 dengan alasan anak guamnya hanya memperoleh pendapatan RM2,800 sebulan dan merupakan satu-satunya pencari nafkah bagi isteri dan anaknya yang berusia tujuh tahun di Kuala Lumpur.

Mahkamah kemudian menetapkan jaminan sebanyak RM4,200 dan menetapkan 22 Februari untuk sebutan semula kes. Kamalraaj telah membayar jaminan.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button