BERITA SEMASA

MPSepang perkenal KPI menyeluruh, Ahli Majlis diberi peruntukan RM95,000 setiap zon

SEPANG – Majlis Perbandaran Sepang (MPSepang) terus memperkukuh tadbir urus dan keberkesanan penyampaian perkhidmatan apabila setiap Ahli Majlis dibekalkan sebuah pejaba urusan yang lengkap dan kondusif, dibantu seorang setiausaha kerja serta peruntukan kewangan sebanyak RM95,000 bagi melaksanakan program dan aktiviti di zon masing-masing.

Menurut Yang Dipertua MPSepang, Dr Ani Ahmad, inisiatif tersebut selari dengan usaha memantapkan pengurusan Jawatankuasa Penduduk dan Perwakilan (JPP) Zon serta menyahut saranan kerajaan negeri agar Ahli Majlis terlibat secara langsung dalam program berkaitan denggi, kebersihan dan kesejahteraan komuniti setempat.

Sehubungan itu katanya, MPSepang turut memperkenalkan petunjuk prestasi utama (KPI) khusus bagi menilai prestasi Ahli-Ahli Majlis, merangkumi lima komponen utama iaitu Program Kemasyarakatan, Pengurusan Pentadbiran, Kejiranan Hijau, Program Alam Sekitar serta Program Pendidikan dan Kesihatan Awam.

“Kesemua komponen ini mempunyai pecahan program tersendiri dengan markah penilaian yang akan dibuat pada akhir tahun.

“Sebagai penghargaan, hadiah akan ditawarkan kepada komponen dan JPP terbaik yang mencapai kecemerlangan.

“Selain penilaian dalaman MPSepang, Ahli-Ahli Majlis juga tertakluk kepada penilaian kerajaan negeri yang melibatkan empat skop utama iaitu keberkesanan penyampaian perkhidmatan, pelaksanaan program dan inisiatif Kerajaan Negeri, kepimpinan komuniti dan kolaborasi, serta integriti dan disiplin kerja,” katanya.

MP sepang
Yang Dipertua MPSepang, Dr Ani Ahmad (tengah) bergambar bersama 24 Ahli Majlis MPSepang yang baharu dilantik dan mengangkat sumpah hari ini.

Beliau berkata demikian ketika berucap sempena pelantikan dan angkat sumpah 24 Ahli Majlis MPSepang yang baharu di sini hari ini.

Dalam pada itu beliau turut menyeru kepimpinan baharu Ahli Majlis bagi sesi ini agar melakukan transformasi budaya kerja selaras dengan nilai daya tahan uji dan insani sebagai teras agenda bersama.

“Penekanan utama pentadbiran 2026–2027 adalah pendekatan proaktif melalui konsep Management By Walking Around atau turun padang, tidak hanya menunggu aduan, bagi meminimumkan masalah serta memberi tumpuan kepada isu pengurusan sisa pepejal, bencana banjir dan infrastruktur.

“Pendekatan ini bertujuan memastikan rakyat benar-benar merasai kehadiran kerajaan di peringkat tempatan.

“Ahli-Ahli Majlis turut diingatkan agar lebih peka dalam melaksanakan dasar, berfikir di luar kebiasaan dan melihat setiap cabaran sebagai peluang,” katanya.

Pada masa sama katanya, mereka juga disaran mengamalkan pengurusan kewangan berhemah, cekap, berintegriti dan berakauntabiliti serta kreatif menjana pendapatan baharu demi kemakmuran rakyat.

Sementara itu beliau juga menegaskan bahawa peranan pihak berkuasa tempatan (PBT) bukan sekadar penyedia perkhidmatan, sebaliknya bertindak sebagai pemangkin pembangunan setempat yang menentukan kemajuan keseluruhan kawasan.

Justeru katanya, Ahli Majlis digesa berani mengemukakan idea dan cadangan praktikal bagi meningkatkan tahap kompetensi serta ketelusan penyampaian perkhidmatan.

Dalam aspek penguatkuasaan pula katanya, MPSepang menekankan bahawa tanggungjawab tersebut meliputi bukan sahaja isu gerai haram dan premis tanpa lesen, malah penguatkuasaan pelan pembangunan, alam sekitar serta hubungan sosial masyarakat.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button